BUKIT MERTAJAM: Minat mendalami ilmu masakan berasaskan rempah-ratus mendorong seorang wanita mempertahankan legasi perniagaan keluarga yang telah dimulakan sejak beberapa generasi lalu.
Norzaini Samad, 56, atau lebih dikenali sebagai Noraina Bee, berkata sejak kecil beliau sering membantu arwah datuknya menimbang, menyukat dan mencampurkan pelbagai jenis rempah kering serta basah untuk dijadikan bahan asas dalam masakan.
Pengalaman itu membentuk kemahiran dan minat mendalam yang diperoleh melalui pemerhatian serta kerja-kerja dapur.
Berkat kegigihan, Norzaini kini mampu menghasilkan lebih 200 resipi sedia dimakan menggunakan rempah adunan sendiri dengan bantuan anaknya, Muhamad Bilal Farhan Roslan, 29.
Beliau bukan sahaja mahir masakan Melayu, malah turut menyediakan hidangan India, Cina dan Siam termasuk rendang tok, masak lemak cili padi, kerutuk, asam pedas, varuval, kari, char siu dan mi wantan.
Bekas tenaga pengajar sambilan kulinari UiTM itu turut menjual rempah giling serta menerima tempahan memasak untuk jamuan. Walaupun ada cadangan membuka cawangan, beliau kekal memilih kawalan kualiti yang rapi.
Anak lelakinya kini membantu menguruskan sukatan dan penyediaan resipi dengan lebih teratur.
Pada masa ini, Norzaini lebih menumpukan jualan fizikal berbanding dalam talian bagi memudahkan penerangan kepada pelanggan, namun tetap memenuhi permintaan penghantaran ke luar kawasan.
Pelanggannya bukan sahaja dari Pulau Pinang, malah beberapa negeri lain di Semenanjung. Beliau menyimpan impian menjadikan Rempah Warisan Mami Johara Bee
Rejab Ali sebagai jenama setanding pasaran utama, sekali gus membalas jasa keluarganya terutama ibunya. – UTUSAN










