NGO bantu dua beradik tercicir ke sekolah

NGO bantu dua beradik tercicir ke sekolah

ZURAIDI Rahim membantu memilih uniform sekolah Muhamad Rizhan Rizqi (kanan) dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan sambil ditemani Siti Nur Jamilah Jamaludin di Pekan Kuala Nerang, Padang Terap. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Nasib dua beradik yang tercicir persekolahan di Naka, di sini mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu menguruskan kemasukan persekolahan mereka.

Inisiatif diambil Kelab Anak Muda Madani Kedah yang bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap itu menyaksikan Muhamad Rizhan Rizqi, 9, dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan, 8, bakal ke Sekolah Kebangsaan (SK) Panglima Awang, tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim berkata, beliau segera menghubungi PPD Padang Terap dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah setelah menerima maklumatt tentang dua beradik itu.

“Saya tidak menyangka masih ada kanak-kanak yang tercicir seperti ini di mana mereka tidak pernah langsung ke sekolah sejak lahir, sememangnya mereka sudah ketinggalan dalam aspek pendidikan.

“Namun, dengan kemahuan dua beradik ini yang menyatakan mahu ke sekolah, saya yakin masa hadapan mereka masih cerah sekiranya mendapat pendidikan yang sempurna atau formal,” katanya ketika menemui keluarga tersebut di Taman Naka Jaya, di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kesukaran hidup dialami sebuah keluarga memaksa dua beradik tidak berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah meskipun kini sudah berusia lapan dan sembilan tahun.

Muhamad Rizhan Rizqi dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan sepatutnya berada di tahun dua dan tiga tahun ini, namun disebabkan masalah dihadapi ibu mereka, Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, menyebabkan dua beradik itu hanya menghabiskan masa di rumah.

Tambah Zuraidi, beliau juga sudah membawa dua beradik tersebut membeli kelengkapan sekolah terutama uniform dan kasut sekolah agar mereka lebih semangat untuk memulakan proses pembelajaran.

“Selain itu saya juga membeli pakaian baharu kepada adik mereka yang berusia lima tahun agar dia juga dapat merasai semangat untuk memulakan semula kehidupan mereka yang sebelum ini mencabar.

“Saya juga akan melihat keperluan bulanan keluarga ini terutama dua beradik tersebut yang yang akan mula bersekolah secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Siti Nur Jamilah menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang membantu keluarganya terutama dua anak yang bakal bersekolah tidak lama lagi.

“Saya ingin berterima kasih kepada banyak pihak yang membantu kami terutama Datuk Zuraidi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan orang perseorangan yang menolong kami selama ini.

“Saya berjanji akan memberi sokongan kepada dua anak yang akan bersekolah itu supaya mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya yang mungkin boleh mengubah nasib kami sekeluarga kelak,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN