PUTRAJAYA: Pengurusan NexG Bhd dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh satu atau dua hari bagi menjelaskan polemik berkaitan syarikat itu yang dibangkitkan ahli akademik dan isu-isu yang dibangkitkan semula sehingga kembali menjadi perhatian.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin yang memaklumkan, kenyataan tersebut turut akan menjawab isu yang sengaja diputar belit mengaitkan syarikat dengan bekas menteri.
“Satu atau dua hari lagi (NexG) akan mengeluarkan kenyataan baharu. Satu perkara untuk menjelaskan isu-isu yang dibangkit ahli akademik dan bangkit semula isu-isu yang sama.
“Satu lagi untuk menjawab isu yang senjaga diputar belit mengaitkan syarikat dengan bekas menteri,” katanya hari ini.
Sebelum ini, ahli akademik menyatakan, Abu Hanifah mempunyai tanggungjawab besar untuk memberikan maklumat penuh kepada lembaga pengarah syarikat itu susulan kemelut yang melanda NexG.
Pihak lembaga syarikat pula perlu memaklumkan kepada pemilik NexG iaitu pemegang saham terutama melibatkan isu perbelanjaan RM303.7 juta.
Dalam pada itu, ditanya apakah pihak pengurusan telah membuat penjelasan kepada Lembaga Pengarah NexG Bhd mengenai perbelanjaan sebanyak RM300 juta semasa Victor Chin menjadi COO syarikat, beliau hanya menjawab ringkas: “Sudah.”
Turut ditanya, apakah pengurusan syarikat mendapati terdapat unsur-unsur salah guna kuasa atau penyelewengan dalam perbelanjaan tersebut, beliau turut menjawab, “Tidak.”
Beliau turut memaklumkan, tiada impak kepada perniagaan syarikat berhubung tindakan semasa seperti mengaitkan isu Mafia Korporat dengan NexG yang dibuat oleh Victor Chin. – UTUSAN










