Murid SK Balaban Jaya dipindahkan ke SK Pekan Beluran

Murid SK Balaban Jaya dipindahkan ke SK Pekan Beluran

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di khemah dan koridor masjid berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, situasi itu menyebabkan keadaan sekolah tidak lagi berada pada tahap selamat untuk digunakan.

Katanya, tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan sementara murid terlibat ke SK Pekan Beluran serta menyediakan kemudahan pengangkutan ke sekolah berkenaan.

“KPM memberi jaminan akan memastikan akses pendidikan dan keselamatan murid di SK Balaban Jaya terus terpelihara susulan isu kerosakan infrastruktur di sekolah berkenaan.

“Langkah itu bertujuan memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas, di samping mengelakkan beban kepada ibu bapa.

“Beberapa sesi libat urus (SLU) telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook menggesa kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan segera menangani nasib pelajar SK Balaban Jaya yang kini mengikuti pembelajaran di ruang sementara yang tidak sesuai.

Yun Fook berkata, murid-murid ditempatkan di khemah tanpa dinding dan koridor masjid yang dikhuatiri menjejaskan keselesaan murid serta persekitaran pembelajaran.

KPM berkata, pada masa sama, kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan baharu SK Balaban Jaya.

“KPM bertanggungjawab penuh dalam memastikan keperluan pendidikan semua murid yang terjejas di SK Balaban Jaya terus terpelihara, selain memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN