KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan nilai perdagangan sebanyak RM4.5 bagi bilion Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, berbanding RM6.05 bilion yang dicapai pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Yusof berkata, pameran tersebut dijangka akan menarik 2,380 pempamer dan 45,000 pengunjung dari 45 buah negara.
Katanya, MIHAS 2026 akan memberi tumpuan kepada penyertaan yang lebih kukuh, penglibatan pembeli bernilai lebih tinggi dan jangkauan global yang lebih luas.
“Pada tahun lepas, kami menyasarkan jualan perdagangan sebanyak RM4.3 bilion, tapi untuk tahun ini kami mengambil kira situasi semasa dengan keadaan geopolitik dan krisis-krisis global.
“Oleh itu, sasaran untuk MIHAS 2026 adalah utuk menjana jualan sebanyak RM4.5 bilion,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pra pelancaran MIHAS 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.
Yang turut hadir Timbalan Setiausaha Agung (Pelaburan & Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil.
MIHAS 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 ini dengan tema ‘Shaping Trust, Driving Resilience’ di MITEC.
Pameran ini akan menggabungkan penglibatan fizikal dan digital dengan alat pemudahcaraan perdagangan berkuasa kecerdasan buatan (AI) untuk membantu pembeli, pempamer dan pelabur mengenal pasti peluang dan menukar penglibatan kepada hasil komersial yang boleh diukur.
Acara itu turut menjadi platform untuk memudah cara penglibatan perniagaan bernilai tinggi, dengan penyertaan 200 pembeli antarabangsa di bawah INSP serta 50 pembeli premium menerusi Program Pembeli Hos.
Pada masa sama, ia akan menonjolkan kekuatan industri tempatan dengan penglibatan 600 pengeksport Malaysia melalui inisiatif Pameran MIHAS.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, Matrade mengalihkan tumpuan perdagangan dan eksport ke pasaran baharu susulan ketidaktentuan geopolitik serta krisis global yang menjejaskan beberapa pasaran utama dunia.
Beliau berkata, pihaknya mempelbagaikan pasaran sejak hujung tahun lalu dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tradisional seperti Singapura, Amerika Syarikat, China dan Jepun.
“Antara pasaran baharu yang sedang diberi perhatian ialah Afrika, Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan, Asia Selatan termasuk Bangladesh dan Sri Lanka, selain pasaran ASEAN sendiri.
“Pendedahan Malaysia kepada pasaran Asia Barat ketika ini agak terhad apabila rantau itu hanya menyumbang kira-kira tiga peratus kepada keseluruhan perdagangan negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai eksport negara, beliau berkata, perdagangan eksport masih menunjukkan peningkatan iaitu eksport hampir 13 peratus meningkat dan perdagangan berkembang 10.4 peratus.
“Kesan krisis global dijangka mula dapat dilihat pada April dan suku kedua tahun ini, namun keadaan sebenar masih sukar diramalkan ketika ini.
“Dari segi prestasi halal, Malaysia mengeksport hampir RM70 bilion produk halal tahun lalu dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan mensasarkan eksport produk halal mencecah RM80 bilion menjelang 2030,” tambahnya. – UTUSAN










