KUALA LUMPUR: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) terus mencatat prestasi kukuh pada 2025 dengan peningkatan penubuhan dan pendaftaran syarikat baharu sebanyak 5.1 peratus kepada 659 syarikat berbanding 627 syarikat pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Affendi Rashdi berkata, pertumbuhan itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap daya saing dan kestabilan ekosistem kewangan antarabangsa Labuan.
“Penubuhan dan pendaftaran syarikat baharu yang meningkat menunjukkan Labuan IBFC terus kekal relevan sebagai hab kewangan serantau yang menarik penyertaan pemain baharu.
“Selain itu, sebanyak 41 lesen baharu telah dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 808 entiti berlesen, dengan 4,971 syarikat beroperasi setakat ini.
“Sebanyak 37 lagi permohonan perniagaan telah diluluskan dan dijangka dilesenkan dalam tahun ini,” katanya ketika mengulas prestasi terkini Labuan IBFC bagi 2025.
Beliau berkata, dari segi asas industri, jumlah aset Labuan IBFC meningkat 13 peratus kepada AS$94 bilion (RM371.25 bilion) manakala permodalan melonjak 32.3 peratus sejak 2023 kepada AS$22.5 bilion (RM88.86 bilion), sekali gus mencerminkan kekukuhan struktur pasaran.
“Sektor perbankan Labuan IBFC pula terus mencatat prestasi berdaya tahan disokong kualiti aset yang kukuh serta struktur pendapatan stabil, meskipun pertumbuhan pinjaman lebih sederhana.
“Kemasukan tiga bank baharu termasuk dari Hong Kong dan Belanda turut memperkukuh ekosistem perbankan, menjadikan jumlah keseluruhan bank kepada 73.
“Walaupun terdapat penyusutan dalam jumlah pembiayaan, sektor ini kekal stabil dan terus disokong oleh asas perniagaan yang kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah pembiayaan susut 4.1 peratus kepada AS$18.2 bilion (RM71.88 bilion) berikutan kematangan pembiayaan serta pendekatan lebih berhati-hati dalam aktiviti kredit.
“Namun begitu, pinjaman kepada sektor perkhidmatan kewangan meningkat ketara sebanyak 36.9 peratus, mencerminkan sokongan berterusan terhadap aktiviti kewangan.
“Keuntungan sektor perbankan pula melonjak 53.3 peratus kepada AS$665.7 juta (RM2.63 bilion), disokong peningkatan pendapatan bukan faedah bersih,” jelasnya.
Dalam pada itu, sektor perbankan Islam terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan aset meningkat 35.2 peratus kepada AS$2.2 bilion (RM8.69 bilion) dipacu permintaan tinggi terhadap pembiayaan patuh syariah.
“Pembiayaan Islam meningkat 23.4 peratus kepada AS$1.65 bilion (RM6.52 bilion), manakala deposit Islam melonjak 17.7 peratus kepada AS$231.8 juta (RM915.49 juta) dengan dominasi penyertaan bukan pemastautin.
“Momentum kewangan Islam yang kukuh ini menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap produk patuh syariah serta potensi besar segmen ini,” kataya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor insurans Labuan IBFC turut mencatat prestasi positif dengan pertumbuhan premium kasar dan sumbangan sebanyak 5.8 peratus kepada AS$2.5 bilion (RM4.74 bilion)
“Keuntungan sektor insurans semula dan takaful semula meningkat 7.1 peratus kepada AS$434.7 juta (RM1.72 bilion), iaitu paras tertinggi dalam tempoh lima tahun.
“Kadar pengekalan bersih insurans am turut meningkat kepada 62.7 peratus, mencerminkan peningkatan kapasiti risiko industri,” katanya.
Dalam pasaran modal, segmen pengurusan dana merekodkan aset di bawah pengurusan sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.74 bilion) dengan keuntungan hampir berganda kepada AS$10.5 juta (RM41.47 juta).
Affendi berkata, Labuan IBFC turut mencapai pencapaian penting dalam kewangan mampan menerusi penerbitan sulung instrumen berkaitan iklim bernilai RMB200 juta (RM115.65 juta).
“Ini menunjukkan komitmen berterusan Labuan dalam memperkukuh inovasi kewangan termasuk kewangan mampan dan digital,” katanya. – UTUSAN










