PETALING JAYA: Harga minyak global terus melonjak dipengaruhi kegagalan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, selain didorong gabungan faktor gangguan fizikal bekalan, premium risiko geopolitik serta kekangan logistik yang semakin meruncing.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$2.97 atau 2.74 peratus kepada AS$111.2 (RM439.25) setong pada pukul 4 petang manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$98.83 (RM390.38) setong, naik AS$2.46 atau 2.55 peratus.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, gangguan ketara di laluan strategik Selat Hormuz, yang menyaksikan hampir 20 peratus bekalan minyak global terjejas susulan penutupan hampir menyeluruh sejak Februari lalu.
Katanya, situasi ini mencetuskan kejutan bekalan berskala besar, melebihi beberapa krisis tenaga terdahulu.
“Pada masa sama, negara pengeluar utama seperti Arab Saudi, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan terpaksa mengehadkan pengeluaran akibat kekangan storan serta kesukaran mengeksport minyak mentah ke pasaran global.
“Pasaran juga dibebani “premium risiko” yang tinggi apabila pelabur dan pembeli mengambil kira kemungkinan serangan ke atas infrastruktur tenaga, peningkatan kos insurans kapal tangki serta keterbatasan laluan alternatif.
“Keadaan ini mendorong harga penanda aras seperti Brent crude meningkat lebih pantas berbanding West Texas Intermediate (WTI),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Barjoyai, bagi Malaysia, peningkatan harga minyak membawa kesan bercampur.
“Sebagai pengeksport bersih, negara berpotensi menikmati peningkatan hasil melalui cukai petroleum dan dividen syarikat tenaga nasional. Namun, dalam masa sama, kos subsidi bahan api dijangka meningkat dengan ketara, sekali gus menekan kedudukan fiskal kerajaan.
“Jika harga minyak kekal tinggi, tekanan untuk merasionalisasi subsidi bahan api akan semakin meningkat, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih ketat. Kesan limpahan turut dirasai melalui peningkatan kos logistik dan inflasi domestik,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, sektor industri disaran memperkukuh kecekapan tenaga melalui audit penggunaan, strategi lindung nilai serta pelaburan dalam tenaga alternatif seperti solar dan elektrifikasi logistik.
“Pengguna pula digalakkan mengoptimumkan perbelanjaan tenaga, termasuk penggunaan pengangkutan awam, kenderaan hibrid atau elektrik, serta pengurusan kewangan isi rumah yang lebih berdisiplin,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kenaikan harga minyak global ketika ini dipacu beberapa faktor utama selain gangguan rundingan antara AS dan Iran.
Katanya, ini termasuk sikap berhati-hati pengeluar minyak dalam meningkatkan pengeluaran bagi mengelakkan penyusutan stok sekiranya krisis berpanjangan.
“Selain itu, permintaan global yang meningkat secara mendadak berdepan kekangan kapasiti pengeluaran serta isu loji penapisan yang terhad, sekali gus menekan bekalan pasaran.
“Krisis logistik di laluan strategik seperti Selat Hormuz turut memburukkan keadaan, apabila aliran penghantaran minyak berdepan risiko gangguan,” katanya.
Beliau berkata, dari sudut inflasi, kenaikan harga minyak mentah penanda aras seperti Brent crude dan WTI dijangka memberi tekanan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan global, khususnya di negara membangun yang sangat bergantung kepada bahan api.
“Barangan keperluan asas dijangka terus mencatat permintaan stabil walaupun harga meningkat, namun bagi barangan bukan keperluan, permintaan berkemungkinan menyusut, sekali gus sedikit meredakan tekanan inflasi keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, pelabur kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan berikutan ketidaktentuan geopolitik yang tinggi, dengan kebanyakan memilih strategi “tunggu dan lihat” sehingga keadaan pasaran kembali stabil.-UTUSAN










