PSG masih belum selamat

PSG masih belum selamat

Luis Enrique
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PARIS: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mengakui pasukannya perlu tampil lebih tajam di hadapan pintu gol apabila bertandang ke Bayern Munich dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara minggu depan.
Menurutnya, kelebihan tipis 5-4 yang diraih dalam perlawanan pertama di Parc des Princes semalam belum cukup selesa untuk menjamin kemaraan ke pentas final.
“Kami berbincang dan merasakan sekurang-kurangnya tiga gol diperlukan di Munich jika mahu benar-benar selamat. Bayern pasti lebih kuat di laman sendiri dengan sokongan penyokong mereka,” katanya.
Dalam aksi mendebarkan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terbuka sehingga menghasilkan jumlah jaringan tinggi, sekali gus mencipta rekod sebagai separuh akhir paling prolifik dalam era moden Liga Juara-Juara.
PSG bermula garang apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului 5-2, namun Bayern tidak mengalah dan berjaya merapatkan jurang kepada 5-4 menjelang tamat perlawanan.
Luis Enrique mengakui kemenangan tersebut tetap memberi kelebihan psikologi, namun mengingatkan anak buahnya agar tidak leka.
“Kami gembira menang, tetapi pada kedudukan 5-2 kami sepatutnya boleh mendapatkan keputusan lebih baik. Perlawanan ini menunjukkan kami boleh menang, seri atau kalah,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Bayern, Vincent Kompany tetap optimis peluang pasukannya untuk bangkit dalam perlawanan kedua di Allianz Arena.
Kompany menyifatkan semangat juang dipamerkan pemainnya ketika bangkit daripada ketinggalan sebagai petanda positif menjelang aksi penentuan.
“Kami menunjukkan reaksi yang luar biasa. Tiada apa yang mustahil dan kami hanya perlu menang di laman sendiri,” katanya.
Tambah Kompany, perlawanan tersebut memperlihatkan pertembungan dua pasukan yang mengamalkan pendekatan menyerang tanpa kompromi.
“Bola sepak seperti agama, setiap orang ada kepercayaan masing-masing. Kedua-dua pasukan tidak mahu bertahan dan itu menjadikan perlawanan ini sangat menarik,” katanya. – AFP
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN