PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merakam percakapan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel ke Filipina.
Menurut MCMC, individu berkenaan hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya dengan ditemani peguamnya bagi memberi keterangan.
Katanya, pihaknya turut menyita satu telefon bimbit dan satu kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Tindakan penyitaan dibuat mengikut Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
MCMC memandang serius penyalahgunaan platform media sosial dan saluran digital untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam,” jelasnya. – UTUSAN










