IPOH: Berdiri megah lebih satu abad, Masjid Panglima Kinta di sini menjadi masjid pertama di negeri ini yang menerima pengiktirafan Malaysian Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
MyTQA merupakan inisiatif MOTAC untuk meningkatkan perkhidmatan dan kualiti kemudahan bagi produk-produk pelancongan.
Ia merupakan satu pengiktirafan kepada produk pelancongan dan memberi pendedahan kepada penggiat-penggiat industri supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan.
Pengarah MOTAC Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid berkata, pemilihan masjid tersebut dibuat berdasarkan penelitian teliti merangkumi pelbagai kriteria termasuk elemen warisan, seni bina serta keunikan tersendiri.
Menurut beliau, antara faktor utama adalah usia masjid yang melebihi 128 tahun selain masih mengekalkan struktur asal walaupun telah melalui kerja-kerja baik pulih.
“Masjid ini dipilih di bawah kategori warisan kerana nilai seni bina dan sejarahnya yang tinggi, selain keupayaannya mengekalkan ciri asal sehingga hari ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil dan Plak MyTQA MOTAC di Masjid Panglima Kinta di sini hari ini.
Ujarnya, pengiktirafan itu dilihat mampu membuka lembaran baharu dalam memperkasa sektor pelancongan berasaskan warisan di Perak.
Katanya, masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah berpotensi besar sebagai tarikan pelancong yang ingin mengenali sejarah serta kepelbagaian budaya tempatan.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Perak merancang memperluaskan pengiktirafan MyTQA kepada beberapa masjid lain di negeri ini secara berperingkat.
“Antara yang dikenal pasti termasuk Masjid Paloh, Masjid India Muslim Ipoh, Masjid Muhammadiah Ipoh serta Masjid Ubudiah.
“Usaha itu dilihat selari dengan hasrat menjadikan Perak sebagai antara destinasi utama pelancongan warisan yang mampu menarik perhatian pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Masjid berkenaan, Dr Adib Vincent Tung Abdullah berkata, masjid itu merupakan antara masjid batu-bata terawal di negeri ini dan kedua tertua di Malaysia.
Menurutnya, bangunan tersebut turut diiktiraf sebagai warisan oleh Jabatan Warisan Negara berikutan keunikan seni bina yang menggabungkan elemen India, neoklasikal serta pengaruh Cina.
“Gabungan reka bentuk ini menjadikan masjid ini bukan sahaja unik, malah sering menjadi tumpuan pelancong yang ingin melihat sendiri keistimewaannya,” katanya. – UTUSAN










