IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 bagi memperkemas undang-undang berkaitan penguatkuasaan hutan.
RUU itu dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di hadapan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pindaan tersebut melibatkan penambahbaikan terhadap beberapa seksyen sedia ada di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) selaras dengan keperluan semasa bagi menangani isu pencerobohan hutan dan pengambilan hasil hutan secara haram.
Terdahulu, ketika membentangkan pindaan RUU berkenaan, Saarani berkata, tujuan pindaan itu dilaksanakan adalah untuk memperkemas peruntukan undang-undang, khususnya bagi memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.
Katanya, pindaan berkenaan juga bertujuan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.
“Untuk aspek penguatkuasaan, pindaan ini memberi penekanan kepada keberkesanan tindakan undang-undang melalui peningkatan kadar denda dan hukuman terhadap kesalahan hutan, di samping memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan sehingga ke peringkat kompaun dan pendakwaan di mahkamah.
“Pindaan ini juga bertujuan memastikan setiap pelanggaran peruntukan undang-undang dapat ditangani secara lebih tegas, berkesan dan berwibawa.
“Bagaimanapun, penetapan hukuman denda dan penjara adalah tertakluk kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pindaan tersebut turut memberi kuasa kepada pegawai perhutanan Persekutuan untuk membantu dalam siasatan dan operasi penguatkuasaan dengan kebenaran pihak berkuasa negeri.
Katanya, klasifikasi Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga diperluaskan dengan memperkenalkan kategori baharu iaitu hutan taman negeri bagi memperkukuh pengurusan kawasan hutan.
“Pindaan ini juga merangkumi penambahbaikan dalam pengurusan lesen dan permit termasuk aspek syarat, tempoh sah serta pelucutan deposit,” katanya.
Tambah beliau, aspek kewangan dan royalti turut diperkemas termasuk penggunaan lebih meluas Kumpulan Wang Pembangunan Hutan bagi menyokong usaha pemuliharaan.
“Beberapa kesalahan baharu turut diperkenalkan seperti menghalang kerja penguatkuasaan, memberikan kenyataan palsu dan persubahatan seperti menjalankan operasi sekatan jalan raya,” katanya. – UTUSAN










