Kerana upah RM100 setiap seorang, remaja guna pikap abang seludup PATI

Kerana upah RM100 setiap seorang, remaja guna pikap abang seludup PATI

PATI dan tekong darat (kanan) yang ditahan PGA dalam serbuan di Tumpat, Kelantan.-IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hanya kerana upah RM100 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup menggunakan trak pikap milik abangnya tanpa pengetahuan keluarga sebagai alat untuk kegiatan penyeludupan manusia.

Perbuatan itu terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menahan remaja berkenaan bersama lima PATI dalam satu operasi di tepi jalan Terbak–Kelaboran Belukar, malam tadi.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin pihaknya mengesan sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan di bawah jambatan Kampung Pulau Ular.

Katanya, menyedari kehadiran anggota penguat kuasa pemadu trak pikap itu bertindak memecut laju sebelum berhenti di tepi jalan Terbak-Kelaboran Belukar.

“Dua lelaki yang berada di bahagian terus bertindak melarikan diri, pemeriksaan lanjut telah menjumpai lima lelaki warga asing di tempat duduk belakang.

“Semakan mendapati lima lelaki terbabit terdiri daripada empat warga India dan seorang Sri Lanka masing-masing berusia antara 20 hingga 61 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, susulan itu pihaknya menyerbu sebuah rumah di Kampung Bunohan pagi tadi menahan suspek utama yang dipercayai menjadi tekong darat pada pukul 4 pagi.

Katanya, soal siasat yang dilakukan mendapati lelaki mengaku membawa PATI menggunakan kenderaan tersebut dengan bayaran RM100 bagi setiap seorang yang berjaya dihantar ke Stesen Bas Kota Bharu.

“Suspek juga memaklumkan kenderaan itu milik abangnya dan digunakan tanpa pengetahuan pemilik.

“Semua PATI terbabit masuk ke negara ini melalui jalan sungai menggunakan bot dari Thailand sebelum dibawa masuk ke darat,” ujarnya.

Ahmad Radzi berkata, ujian saringan air kencing terhadap remaja terbabit didapati positif methamphetamine, manakala lima warga asing terbabit negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN