MEKAH: Malaysia sekali lagi terpilih menjadi antara negara terawal di dunia yang berjaya mengagihkan kad Nusuk sepenuhnya kepada jemaah haji di dalam negara sendiri bagi musim haji 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, projek itu adalah hasil kerjasama erat tiga penjuru di antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH dan Syarikat Holiday Inn Bakkah iaitu sebuah syarikat pengendali jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
Katanya, perkara itu selari matlamat TH untuk memudahkan urusan perjalanan jemaah apabila inisiatif itu membolehkan persiapan haji yang teratur, mengelakkan kesesakan semasa di Arab Saudi dan menjamin kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji.
“Alhamdulillah, Malaysia dipilih menjadi antara negara terawal untuk inisiatif ini yang merupakan kesinambungan kejayaan projek rintis pada musim haji tahun lepas di mana Malaysia melakar sejarah sebagai negara pertama yang dipilih untuk mengedarkan kad Nusuk kepada para jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Kejayaan ini adalah bukti kerjasama akrab di antara dua negara dalam usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada jemaah haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kad Nusuk berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji dan mengandungi pelbagai maklumat komprehensif berkenaan data penting dan turut berfungsi sebagai permit kebenaran memasuki kawasan Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Dalam pada itu, Mustakim mengingatkan semua jemaah untuk menjaga kad pengenalan diri dan kad Nusuk yang dibekalkan dengan sebaiknya.
“Ia kerana kawalan keselamatan akan dipertingkatkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi terutamanya di laluan masuk kawasan menunaikan ibadah haji,” katanya.-UTUSAN










