PETALING JAYA: Malaysia akan menjadi hab kenderaan elektrik (EV) dengan pengenalan dasar yang melibatkan nilai tambah tinggi terhadap semua syarikat automotif di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan pembangunan itu bertujuan membina ekosistem mampan dan berdaya saing termasuk untuk tujuan eksport.
“Dasar kementerian bukan bersifat perlindungan kepada segelintir pemain tempatan, tetapi berteraskan pembangunan menyeluruh industri dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, bersandarkan kepada visi Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) dan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk memacu ekonomi, Malaysia perlu bergerak secara tegas ke arah aktiviti nilai tambah tinggi sebenar, termasuk pembuatan, kejuruteraan dan pemindahan teknologi.
“Pelaburan tanpa komitmen eksport yang jelas atau pelan localisation hanya memberi manfaat terhad kepada ekosistem automotif Malaysia dan akan mengehadkan keupayaan pengeluar mencapai skala ekonomi yang diperlukan bagi localisation yang mendalam dan mampan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai isu pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD yang didakwa menilai kembali rancangan untuk membuka kilang pemasangan kenderaan melalui dasar kereta pemasangan tempatan (CKD) di Tanjong Malim, Perak.
Johari berkata, BYD memperoleh lesen pembuatan sementara pada September 2025 untuk loji pemasangan dan ia berasaskan pengeluaran berorientasikan eksport.
Katanya, syarat tersebut dirangka bagi memastikan penyelarasan di antara Dasar Automotif Nasional dan NIUMP 2030, sekali gus menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dan mengelakkan gangguan pasaran.
“Syarat ini bukan khusus kepada BYD, sebaliknya mencerminkan pendekatan konsisten yang dikenakan ke atas semua pelaburan automotif baharu di Malaysia bermula September 2025, kecuali yang menggunakan kemudahan pemasangan tempatan sedia ada,” katanya.
Sementara itu katanya, dakwaan hanya 20 peratus kereta BYD yang dipasang tempatan boleh dijual di sini dan perlu berharga melebihi RM200,000 adalah tidak tepat.
“Ia bukan sekatan, sebaliknya rangka kerja pengeluaran yang dipersetujui bersama. Semua syarat dikenakan adalah tidak diskriminasi dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama dan negara asal.
“Tujuannya memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke arah segmen pasaran bernilai tinggi yang mampan dan mengelakkan gangguan terhadap ekosistem vendor sedia ada. BYD tidak dipilih secara khusus, syarat yang sama terpakai kepada mana-mana kemasukan baharu CKD,” katanya.
Mengenai harga minimum EV import yang dikaji semula, Johari berkata, dasar permit diluluskan (AP) francais semasa menetapkan bahawa kereta import sepenuhnya (CBU) mesti dijual pada harga minimum atas jalan RM250,000.
Namun, katanya, kerajaan menurunkan harga minimum itu kepada RM100,000 dari 2022 hingga 31 Disember tahun lalu bagi menggalakkan penggunaan EV, sambil memberi ruang kepada pengeluar tempatan membangunkan keupayaan dan rantaian bekalan EV mereka sendiri.
“Pembuatan dan pemasangan tempatan, bukan import CBU berterusan adalah strategi jangka panjang kerajaan untuk menjadikan EV lebih mudah diakses dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.
“MITI sedang mengkaji dasar harga minimum itu bagi memperkukuh lagi aktiviti pemasangan tempatan sambil memastikan harga kenderaan CBU ditentukan oleh kuasa pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Johari turut menafikan dakwaan MITI melarang import model trak pikap berjenama baharu seperti BYD Shark atau GWM Cannon.
Katanya, semua kenderaan komersial termasuk trak pikap tertakluk kepada keperluan penggunaan sumber tempatan CKD.
“Import CBU dibenarkan dengan kuota terhad di bawah kuota AP pra-pemasangan untuk tujuan kajian pasaran. Tiada sebarang pengumuman daripada MITI yang melarang import jenama trak pikap baharu ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN










