Malaysia bangunkan mekanisme larang import hasil buruh paksa

Malaysia bangunkan mekanisme larang import hasil buruh paksa

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan mekanisme untuk melarang import barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa sebagai langkah proaktif memperkukuh pematuhan perdagangan antarabangsa dan memenuhi peraturan rakan dagang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana pada masa ini Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang dan mekanisme berkaitan perkara berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan mekanisme itu turut mengambil kira perkembangan siasatan Amerika Syarikat (AS) di bawah Seksyen 301, termasuk petunjuk awal kemungkinan pengenaan tarif indikatif sebanyak 10 peratus ke atas Malaysia selepas 24 Julai ini berhubung isu buruh paksa.

“Siasatan berkaitan buruh paksa itu hampir dimuktamadkan manakala siasatan mengenai akses pasaran masih diteruskan.

“Siasatan mengenai isu buruh paksa hampir tamat dan dia (AS) dah bagi kita indikatif bahawa selepas 24 Julai ini, kemungkinan besar AS akan kenakan kita tarif indikatif 10 peratus untuk isu ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status terkini pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS.

Katanya, bagi mengkaji dan merangka mekanisme berkenaan, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa (IATFL) yang dipengerusikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, pasukan petugas itu turut dianggotai Kementerian Kewangan, Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan.

“Ia juga melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kastam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, polis, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, kegagalan Malaysia meneruskan rundingan dengan AS boleh mengundang implikasi terhadap ekonomi negara.

Kata beliau, pihaknya akan terus berunding dengan AS berhubung tarif ART bagi memastikan kepentingan dan pandangan negara ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

“Bila tak ada buat engagement, kita akan berdepan risiko di mana AS menganggap bahawa tarif ini adalah unilateral. Maksud unilateral itu, kalau kita eksport barang, kita sudah bagi kepada import di AS, ini harganya. Bila sampai di AS, mereka akan tambah lagi 19 peratus untuk impose kepada rakyat mereka, bukan kita.

“Tetapi kesan kepada kita ialah, produk kita yang kompetetif, tapi kena 19 peratus lagi daripada AS, dia (produk) jadi tak kompetetif. Ini kita tak boleh tahan, sebab itu hak mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN