KUALA LUMPUR: Beberapa individu termasuk yang kini berada di luar negara telah dikenal pasti bagi terbabit dalam siasatan dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihak polis telah menerima arahan untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan semua dakwaan diteliti dengan telus dan berintegriti.
“Beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.
“Bagi individu yang berada di luar negara tindakan lanjut memerlukan tindakan melalui saluran G2G (kerajaan kepada kerajaan) bagi memanggil individu terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu mengesahkan tiada pembabitan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkenaan.
“Setakat ini, tiada lagi penglibatan SPRM dalam mafia korporat namun siasatan akan terus dijalankan,” katanya.
Katanya, kes ini masih berada pada peringkat awal siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan dimuktamadkan.
Pada 1 April lalu, Ketua Pasukan Siasatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, seramai 41 individu dipanggil bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.
Mereka dipanggil adalah termasuk Victor Chin dan sembilan individu yang ditahan sebelum ini.
PDRM telah melaksanakan Op Viking pada Oktober tahun lalu bagi menyiasat kes melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.
Satu kertas siasatan telah dibuka pada 25 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Siasatan kes dilaksanakan berdasarkan maklumat dan risikan aktiviti pengubahan wang haram sejak 2018.
Menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad. – UTUSAN








