PETALING JAYA: Polis sedang meneliti rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berhubung kes serangan terhadap pengkritik bola sepak tempatan, Azizurrahman Zakaria atau Joe Zakaria di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan akan dilakukan dari semua sudut.
“Kita (polis) juga akan merakam percakapan saksi-saksi yang boleh membantu siasatan. Motif juga masih di dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 malam itu, mangsa dikatakan sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC.
Pencipta kandungan YouTube dan pengkritik bola sepak tempatan itu diserang dua lelaki tidak dikenali di stesen minyak berkenaan.
Mangsa ditendang pada muka sebelum dipukul berulang kali menggunakan tangan dan kaki.
Azizurrahman mengalami kecederaan pada muka, tangan dan kaki serta patah tulang pada bahagian rongga mata kanan. – UTUSAN










