Berlumba di LPT berakhir tragedi, 4 maut, 20 cedera

Berlumba di LPT berakhir tragedi, 4 maut, 20 cedera

KEADAAN nahas di KM 246.4 Lebuhraya Pantai Timur, Kuantan yang meragut nyawa empat penunggang Yamaha RXZ. – IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Berlumba diperca­yai menjadi punca kemalangan ngeri melibatkan lebih 30 motosikal di Kilometer 246.4, Le­buhraya Pantai Timur (LPT) arah Kemaman, Terengganu di sini, semalam sehingga menyebabkan empat penunggang motosikal Yamaha RXZ maut manakala 20 lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, selain motosikal, kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu turut melibatkan sebuah kenderaan Toyota Vios.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios itu sedang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman sebelum sebuah motosikal dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh di lorong kanan sebelum tiga lagi motosikal yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar sesama sendiri. Kemalangan itu turut melibatkan beberapa lagi motosikal,” katanya di sini semalam.

Menurut Ashari, mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, berasal dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Dungun, Terengganu dan Mohd. Aizat Husni, 33 dari Besut, Terengganu.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md. Noh, 24, dari Felda Neram, Terengganu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini.

“Sementara itu, 18 yang cedera dirawat di HTAA dan dua lagi di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM),” katanya.

Ditanya aktiviti dilakukan penunggang motosikal terbabit, beliau berkata, mereka berlumba.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN