KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ameng Spring, 57 mendakwa penyanyi, Liza Hanim, 46, menumpang populariti dan mencari publisiti murahan apabila menyebut tentangnya dalam sesi live di TikTok, baru-baru ini.
Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail berkata penyanyi itu sudah kehabisan modal, justeru mengambil kesempatan dengan memburukkannya dalam sesi tersebut.
“Liza sebenarnya tumpang populariti saya. Itu sahaja. Liza cari publisiti murahan, dia sudah tidak ada modal lain. Saya cakap ketika siaran langsung kepada anak saya, jangan harapkan kemenangan. Kadang kemenangan tak menjajikan apa-apa. Yang penting jangan anggap benda itu pertandingan. Kalah, kalahlah.
“Saya kalah berapa kali, tapi tetap popular. Dan yang menang belum tentu popular. Saya cakap secara general, bukan TTMM satu, bukan.
“Saya kata perkara ini wujud tahun 1989 lagi, juara tidak menjanjikan populariti. Dari dulu lagi saya masuk muzik-muzik, saya kalah. Tapi mana pergi juara itu. Saya juga yang pikul tangungjawab mereka, menyanyi sana sini.
“Itu yang saya katakan pada azeva. Tapi saya tengok dia ambil kesempatan, cuba membuat publisiti murahan dan menumpang glamor saya. Saya anggap begitu,” katanya ketika ditemui semasa majlis rumah terbuka Next Level anjuran Mstar, di sini.
Kemelut permusuhan kedua penyanyi itu bermula apabila Ameng berkongsi pandangan mengenai kemenangan yang tidak menentukan populariti, tanpa menyebut mana-mana pihak.
Bagaimanapun perkongsian Ameng disalah anggap Liza yang mendakwa penyanyi itu menyebut tentangnya.
“Dia petik, katanya seorang penyanyi senior. Siapa lagi, sayalah. Penyanyi senior yang buat siaran langsung di TikTok, siapa?
“Saya tak pernah cari pasal dengan orang. Tetapi kalau orang cari pasal dengan saya, saya tidak akan berpuas hati. Dan saya anggap dia cari glamor, tumpang populariti saya,” ujar Ameng.
Ameng dalam masa yang sama berpandangan diri popular dan ditawarkan membuat persembahan setiap minggu.
“Memang popular. Saya sangat popular. Persembahan setiap minggu. Dan saya adalah penyanyi Diraja. Di mana tempat yang paling tinggi menyanyi, di taman tema atau istana? Kalau raja minat, apatah lagi petani.
Penyanyi Rock kelahiran Kelantan itu bagaimanapun tidak menganggap dirinya bongkak, sebaliknya berpijak di bumi nyata.
“Saya tidak bongkak, dia yang menangguk di air keruh. Orang lain dia boleh cabar, tapi bukan saya. Dia mahu burukkan nama saya, memang silap. Seumur hidup saya tak pernah saya burukkan nama orang lain. Siapa tengok live saya, tahu. Saya dulu pernah kalah. Tapi popular juga.
“Sekarang ini kenapa pula dia yang terasa. Perkara itu betul. Bukan saya fitnah. Satu Malaysia tahu apa yang saya kata itu, betul.
Jadi anda jangan melatah, buktikan anda sebenarnya seorang juara. Macam orang kata saya tak guna, hisap dadah. Saya buktikan.
“Sekarang saya ikon dadah 2025. Saya buktikan. Orang kata saya tak guna, tak peduli pasal anak. Saya buktikan dengan membuat kemunculan sewaktu anak saya membuat persembahan.
“Sepatutnya begitu. Bukan menyalak salahkan orang lain. Engkau pergilah popularkan anak engkau, Kalau takut orang cakap pasal anak engkau. Dia dapat duit kemenangan RM30,000, pergi melancong. Pergi cari Melly goeslaw untuk anak dia baru meletop,” kongsinya.
Bercakap soal hubungan dengan penyanyi tersebut, Ameng mengakui dirinya merupakan pengikut Liza di media sosial.
“Tapi, sekarang ini sudah beberapa kali saya tengok Liza komen pasal anak dia. Seolah-olah tak ada idea lain. Asyik ulas benda itu sahaja.
“Saya mesej Liza, berhati-hati, jaga mulut. Mulut orang ini mulut tempayan. Dia balas, katanya kalau saya tutup (mulut) abang pun tutuplah. Awak nak melawan, salah orang. Jangan cuba jolok sarang tebuan. Dengan orang lain awak boleh, dengan saya, jangan. Saya boleh buatkan hidup dia huru hara. Saya berani kerana benar. Saya tak takut,” jelasnya.
Ameng dalam pada itu enggan menerima permintaan maaf penyanyi itu sebaliknya ingin melihat dia berjaya menjadi pengurus sebenar buat anaknya, Marsya Q.
“Saya tak mahu permintaan maaf daripada Liza Hanim. Saya cuma mahu dia tunjuk, buktikan yang marsya itu seorang juara. Saya nak tengok.
“Masalahnya sekarang kau sudah salah orang. Saya tak hairan masalah duniawi, yang penting saya tak mulakan.
“Saya jahat, seorang diri. Saya hisap dadah, bukan mencuri atau bukan suruh dia hisap dadah. Saya tak pernah pengaruhi orang,” ujarnya.- UTUSAN









