KUSKOP jumpa portal e-dagang isu return & refund

KUSKOP jumpa portal e-dagang isu return & refund

STEVEN Sim Chee Keong (dua, kanan) dalam program Jualan Madani Koperasi & Usahawan @Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan bertemu pengendali portal atau platform e-dagang bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh peniaga dalam talian ketika ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, antara perkara yang akan disentuh dalam pertemuan itu terma­suk isu terma ‘return & refund’ atau pemulangan dan bayaran balik barangan yang telah dibeli melalui platform tersebut.

Katanya, isu lain termasuk usaha untuk memperkukuh kerjasama dan jaringan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam e-dagang.

“Kita akui cabarannya juga banyak seperti mungkin komisen yang dikenakan terlalu tinggi dan lain-lain. Jadi, kita dalam perancangan untuk berjumpa mereka (pengendali portal e-dagang).

“Saya sudah jumpa ba­nyak sektor sokongan sebelum ini. Hari itu saya jumpa pihak bank. Kemudian, saya jumpa ‘private equity’ (ekuiti persendirian) dan sektor tenaga.

“Jadi, kita akan beralih untuk berjumpa pula dengan sektor-sektor e-dagang ini untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk strategi yang lebih baik bagi menyokong PMKS di Malaysia,” katanya selepas menghadiri program Jualan Madani Koperasi & Usahawan @Bertam di sini, semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, kelompo­ngan yang wujud dalam terma return & refund yang ditawarkan oleh platform e-dagang telah dimanipulasi pe­langgan untuk mendapatkan barangan yang dihajati tanpa perlu mengeluarkan satu sen pun daripada poket mereka.

Disebabkan isu itu, terma yang sepatutnya bertujuan melindungi hak pengguna daripada isu penipuan seperti barangan dihantar tidak seperti diiklankan, sebaliknya, telah menjadi beban kepada penjual terutama peniaga kecil.

Dalam perkembangan lain, Steven berkata, KUSKOP akan terus membantu rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi selain membantu para peniaga kecil dan koperasi terus mengembangkan perniagaan mereka ketika ini.

Justeru katanya, menerusi pelaksanaan program Jualan Madani Koperasi & Usahawan sebagai contoh, agensi-agensi di bawah KUSKOP turut diberikan peluang membuka reruai masing-masing bagi memudahkan urusan rakyat sekali gus menawarkan perkhid­matan terbaik buat mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN