AI ‘rakan’ jemaah jawab kemusykilan ibadah haji

AI ‘rakan’ jemaah jawab kemusykilan ibadah haji

PEMBIMBING Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) menjawab soalan kemusykilan oleh para jemaah menerusi aplikasi e-TAIB di Pejabat Operasi Tabung Haji (TH) di Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Buat julung kali, teknologi kecerdasan buatan (AI) diperkenalkan dalam sistem bimbingan Tabung Haji (TH) bagi membantu jemaah Malaysia melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji TH berkata, Shahrin Awaluddin berkata, jemaah yang mempunyai sebarang kemusykilan ibadah haji boleh melayari platform e-TAIB Live Chat menerusi aplikasi WhatsApp pada bila-bila masa.

Katanya, e-TAIB menggunakan pendekatan AI itu yang bertujuan membimbing jemaah menunaikan ibadah dengan sempurna berasaskan keputusan dan panduan Muzakarah Haji.

“Menerusi sistem e-TAIB, AI akan menjawab pertanyaan jemaah terlebih dahulu berdasarkan bahan rujukan rasmi TH yang telah disahkan pakar rujuk haji.

“Jika sistem AI tidak dapat memberikan jawapan tepat atau memerlukan penjelasan lanjut, petugas PIHTAS (Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci) yang mengendalikan e-TAIB akan mengambil alih dan menjawab terus persoalan jemaah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, antara persoalan yang sering ditanya jemaah ialah berkaitan dam, larangan ihram seperti rambut gugur, penggunaan wangian dan fiqh wanita.

“Sebahagian besar jemaah sebenarnya sudah memahami hukum asas, namun mereka mahu mendapatkan pengesahan segera. Sistem ini memudahkan mereka bertanya secara langsung tanpa perlu menunggu lama,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan e-TAIB digalakkan kerana ia percuma, pantas dan menggunakan sumber rujukan berbanding aplikasi luar yang mungkin mengambil pandangan mazhab lain sehingga menimbulkan kekeliruan.

Menurut beliau, pada hari pertama pelaksanaannya, sistem itu menerima kira-kira 300 pertanyaan berkaitan hukum-hakam ibadah, sekali gus membuktikan sambutan baik dalam kalangan jemaah.

Katanya, talian ibadah berkenaan memberi fokus kepada isu berkaitan haji dan umrah serta turut dibuka kepada petugas bagi memudahkan rujukan segera.

Sementara itu, Shahrin berkata, TH pada musim haji kali ini memberi penekanan kepada maqasid haji iaitu tujuan dan hikmah pensyariatan ibadah tersebut.

Katanya, pendekatan itu penting supaya jemaah bukan sahaja memahami rukun dan wajib haji, malah menghayati keseluruhan falsafah serta hikmah di sebalik pensyariatan ibadah berkenaan.

“Jemaah bukan sekadar perlu tahu cara melaksanakan ibadah, tetapi memahami mengapa ia diperintahkan dan apakah nilai yang ingin dibentuk sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN