MARANG: Keputusan kerajaan mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus bumiputera ke program matrikulasi bertujuan mengelakkan kesenjangan antara golongan kaya dan miskin dalam bidang pendidikan terus melebar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam menjamin mobiliti sosial, kerajaan tidak mengetepikan keperluan mengiktiraf yang terbaik atau terpintar.
Sebab itu kata beliau, dalam menilai prestasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Jemaah Menteri memutuskan menawarkan tempat kepada semua calon yang memperoleh keputusan cemerlang 10A ke atas ke Program Matrikulasi bagi sesi 2026/2027.
“Sementara itu ada juga kebimbangan apakah dasar ini akan menyebabkan anak-anak bumutera tersisih lagi kerana kalau bicara tentang elitism ini, sekolah-sekolah terbaik ini di bandar dan diduduki anak-anak dari keluarga yang lebih kaya. Jadi di daerah-daerah akan tersisih lagi.
“Sebab itu kalau nak bersaing kena tengok semua sama ada dari segi kemudahan makmalnya, perpustakaannya dan mutu guru. Itu berbeza di sektor-sektor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payung di sini, hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Menurut Anwar, hujah tentang keperluan mengiktiraf berdasarkan prestasi akademik semata-mata mempunyai kelemahan kerana ia meninggalakan aspek keadilan.
“Maka dalam hal ini, kita mengiktiraf peljar cemerlang memperoleh 10A (dalam SPM 2025) tetapi anak-anak bumiputera tetap dijamin kuota kemasukan 90 peratus ke program matrikulasi supaya kita boleh rapatkan jurang,” katanya. – UTUSAN










