KP SPRM: Agong boleh namakan calon

KP SPRM: Agong boleh namakan calon

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Ke­tua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain berkata, perkara tersebut antara cadangan seandainya terdapat sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan pada masa hadapan.

Selain itu katanya, pelantikan tersebut juga perlu mengambil kira senarai calon yang dikemukakan oleh sebuah badan bebas yang mempunyai tahap integriti tinggi.

“Jika pindaan Perlembaga­an Persekutuan ingin dilakukan, saya mencadangkan agar pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berun­ding dengan Majlis Raja-Raja dengan menimbangkan senarai yang dikemukakan oleh sebuah badan bebas yang mempunyai integriti yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah akan memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, walaupun Yang di-Pertuan Agong melaksanakan fungsi kuasa Eksekutif dengan perlu bertindak di atas nasihat, ia tidak bermakna Baginda tidak boleh menamakan calon atas kata sepakat dengan perdana menteri.

Justeru katanya, titah Yang di-Pertuan Agong perlu dilihat secara positif, selaras dengan sumpah jawatan Baginda, khususnya dalam suasana defisit kepercayaan yang sedang dihadapi ketika ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, hubungan erat antara Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri perlu untuk saling nasihat menasihati dengan menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagaimana terdapat dalam peruntukan 40(1A). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN