Kos tuai padi sama walau diesel turun

Kos tuai padi sama walau diesel turun

KOS menuai padi yang masih tinggi sekitar RM250 untuk keluasan 0.4 hektar membebankan golongan pesawah di Rompin, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Pesawah di daerah ini masih dalam dilema apabila harga menuai padi kekal tinggi sekitar RM250 untuk keluasan 0.4 hektar, meskipun harga diesel sudah dua kali diturunkan oleh kerajaan.

Seorang pesawah yang ingin dikenali sebagai Acik berkata, sebelum kenaikan harga diesel, kos menuai hanya sekitar RM150, jauh lebih rendah berbanding kadar semasa.

“Sekarang harga diesel sudah turun dua kali tetapi kos menuai tidak ikut turun. Kami pesawah tetap terbeban dengan kos tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Acik, keadaan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pesawah kerana kos bahan api sepatutnya menjadi faktor utama penentuan harga menuai.

“Kalau dulu alasan kenaikan kerana diesel naik, sekarang diesel sudah turun. Kenapa harga menuai masih kekal RM250?,” soalnya.

Katanya, terdapat perbezaan harga antara kampung berhampiran yang mengenakan kadar RM210 sahaja, sekali gus me­nimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pesawah.

“Di kampung sebelah, harga menuai lebih rendah. Kenapa di sini masih RM250? Perbezaan ini menekan kami yang sudah sedia terbeban dengan kos baja dan racun,” katanya.

Menurutnya, pesawah tidak menolak bayaran munasabah kepada pengusaha mesin menuai namun kadar yang terlalu tinggi menjejaskan pendapatan mereka.

Dia berharap pihak berkuasa dapat memantau harga menuai padi supaya selaras penurunan harga diesel, sekali gus meri­ngankan beban pesawah.

“Pendapatan pesawah bukan besar. Bila kos menuai terlalu tinggi, hasil bersih semakin ke­cil. Akhirnya pesawah terus miskin di sawah sendiri.

“Kerajaan perlu turun padang, jangan biarkan pengusaha mesin menuai tetapkan harga sesuka hati. Pesawah perlukan pembelaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN