JERANTUT: Sebuah keluarga di Felda Sungai Tekam Utara di sini, melalui episod duka apabila ketua mereka terlantar sejak empat bulan lalu selepas motosikalnya bertembung dengan babi dalam perjalanan ke tempat kerja.
Peristiwa itu meninggalkan kesan cukup mendalam kepada Noorshasila Yusof, 42, yang kini terpaksa memikul beban cukup berat apabila suaminya, Khairul Azmi Abdul Rahman, 44, yang sebelum ini bekerja sebagai mandur ladang, terlantar menyebabkan keluarga tersebut hilang punca pendapatan.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia yang sebelum ini menjual kuih secara kecil-kecilan tidak lagi dapat melakukan pekerjaan tersebut menyebabkannya hilang pendapatan kira-kira RM100 sehari kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada kebajikan suami.
“Sejak kejadian itu, saya tidak berniaga kuih. Wang simpanan saya dan suami sudah habis dibelanjakan untuk mengurus rawatan dan makanan. Sejak suami sakit, saya berbelanja hampir RM3,000 sebulan untuk menyediakan 15 tin susu khas sebulan dengan harga RM106 setin, lampin pakai buang dan ubat-ubatan yang sangat mahal.
“Perbelanjaan ini tidak termasuk pembiayaan persekolahan empat anak yang masih belajar di sekolah rendah dan menengah manakala anak yang sulung sedang menunggu panggilan menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Bercerita kejadian malang menimpa suaminya, Noorshasila berkata, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, motosikal ditunggang Khairul Azmi bertembung seekor babi yang tiba-tiba keluar dari kawasan paya berdekatan persimpangan masuk perkampungan Felda Sungai Tekam Utara, empat bulan lalu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noorshasila menerusi talian 0108665516 atau terus ke akaun Bank Islam nombor 06037023058250 (Noorshasila). – UTUSAN










