SABAK BERNAM: Festival Sawah Padi Sekinchan 2026, di sini mampu menarik sehingga 15,000 pelancong tempatan dan antarabangsa yang berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk kebudayaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebahagian daripada langkah strategik bagi memperkukuh sektor pelancongan agro di negeri ini khususnya di Sekinchan sebagai antara satu lokasi wajib dikunjungi di Selangor.
“Selangor komited memastikan ketahanan ekonomi dengan menggalakkan pelancongan domestik. Melangkah ke hadapan, menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS2), negeri ini akan terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur, mobiliti kesejahteraan rakyat melalui pendekatan yang inklusif dan mampan,” katanya, semalam.
Program dua hari mulai semalam itu turut beri peluang kepada pelancong menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam dalam suasana latar belakang hijau sawah padi.
Penganjuran kali kedua oleh Tourism Selangor sejak tahun lalu itu memperkenalkan konsep penganjuran dari petang hingga malam dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antaranya, Larian Sawah Padi yang menarik lebih 1,000 penyertaan dari pelbagai tempat, boleh mengunjungi 35 vendor di bawah Platform Selangor (PLATS) yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan.
Sementara itu, Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, festival menjadi sebahagian program dalam Zon Kembara Sabda (Wilayah Pembangunan Sabak Bernam).
“Kita mahu Selangor bukan sahaja dikenali sebagai negeri pesat membangun dengan bandar-bandar moden, tetapi juga sebagai negeri yang kaya dengan warisan, desa, keindahan alam semula jadi.” katanya. – UTUSAN










