PETALING JAYA: Kenaikan kos bahan api ketika ini mampu mendorong lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif yang menjimatkan.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, tekanan kos semasa merupakan antara faktor yang mampu mengubah tabiat mobiliti rakyat daripada kebergantungan terhadap kenderaan persendirian kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih ekonomik.
Katanya, keadaan itu menjadikan pengangkutan awam seperti perkhidmatan MyRapidKL sebagai pilihan yang lebih berpatutan terutama bagi mereka yang berulang-alik ke tempat kerja atau institusi pengajian setiap hari.
Beliau yang juga pakar keselamatan jalan raya UPM berkata, perbezaan kos bulanan antara menggunakan kereta sendiri dan pengangkutan awam boleh menjadi cukup besar sehingga mendorong perubahan tingkah laku pengguna.
“Bagaimanapun, perubahan ini lazimnya berlaku apabila pengguna melihat manfaat penjimatan tersebut secara nyata dalam perbelanjaan bulanan mereka.
“Kenaikan harga bahan api bertindak sebagai pemangkin yang mempercepatkan proses ini terutama bagi mereka yang sudah mempunyai akses mudah kepada stesen Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) atau bas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, sebahagian rakyat kini sudah bersedia untuk mengorbankan masa perjalanan sekiranya penjimatan yang diperoleh berbaloi.
Katanya, kesediaan itu bagaimanapun masih bergantung kepada tahap keselesaan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam yang digunakan.
“Pengguna biasanya masih boleh menerima perjalanan yang sedikit lebih lama jika masa tambahan itu konsisten dan boleh dijangka.
“Sebaliknya, jika perjalanan melibatkan terlalu banyak pertukaran, waktu menunggu yang panjang atau gangguan perkhidmatan yang kerap, kesediaan untuk beralih akan menjadi lebih rendah.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat bersedia untuk berkorban sedikit masa, tetapi hanya jika pengalaman perjalanan itu masih praktikal dan tidak menambah tekanan harian secara berlebihan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata, peningkatan kos bahan api wajar dimanfaatkan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih meluas dalam kalangan rakyat.
Katanya, perubahan tersebut boleh membantu masyarakat menyesuaikan corak pergerakan harian mereka agar lebih bergantung kepada sistem pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian. – UTUSAN










