Koperal tidak mengaku cederakan tujuh rakan setugas 

Koperal tidak mengaku cederakan tujuh rakan setugas 

SUKRY Tasu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas tujuh pertuduhan mencederakan rakan setugasnya pada 30 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan mencederakan rakan setugasnya termasuk seorang mangsa dilaporkan kritikal, hujung bulan lalu.

Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai penjaga stor didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di stor senjata Kompeni C, Kem Askar Batalion Ke-25, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Bentong di sini kira-kira pukul 8.30 pagi, 30 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohamed Hafiz Baharudin memohon jaminan dikurangkan dengan alasan pendapatan bersih anak guamnya hanya kira-kira RM1,800 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan tersebut serta memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap enam lagi rakan setugas iaitu Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Muhammad Syakirin Yaacob, 20; Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Muhamad Danial Asraf Azizah, 22; dan Muhammad Azman Shah Ismail, 22.

Mengikut kertas pertuduhan, semua perbuatan itu didakwa dilakukan pada hari dan lokasi sama kira-kira pukul 8.30 malam. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa. Mahkamah mengarahkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tidak mendekati kesemua mangsa.

Mahkamah menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN