Konflik geopolitik dorong SFZ Forest City jadi hab kewangan global baharu - Utusan Malaysia

Konflik geopolitik dorong SFZ Forest City jadi hab kewangan global baharu

MOHD. Effandi Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dijangka muncul sebagai hab kewangan global baharu bagi pelabur antarabangsa yang mencari perlindungan pelaburan stabil susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Kedudukan strategik Forest City di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menawarkan destinasi pelaburan selamat buat golongan bernilai bersih ultra tinggi (UHNW) yang mahukan kestabilan dasar serta fleksibiliti percukaian.

Profesor Madya Jabatan Perakaunan dan Kewangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Effandi Yusoff berkata, Forest City mampu memanfaatkan keadaan geopolitik semasa dengan menawarkan lokasi alternatif yang stabil dan jauh daripada kawasan konflik.

“Pelabur antarabangsa kini cenderung mengurangkan risiko dalam landskap global yang tidak menentu. Forest City mampu menawarkan ekosistem kewangan komprehensif merangkumi perkhidmatan fintech dan perniagaan berkaitan mata wang kripto.

“Kehadiran institusi kewangan utama seperti Kumpulan CIMB dan Maybank Berhad di sini juga telah mewujudkan asas yang mantap bagi sektor kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai konflik serantau di Iran yang mencetuskan perubahan cara pelabur antarabangsa menguruskan kekayaan mereka, terutama akibat gangguan bekalan minyak yang menjejaskan ekonomi global.

Mengulas lanjut, Mohd. Effandi berkata, langkah kerajaan menjadikan SFZ Forest City sebagai hab pejabat keluarga adalah tepat, terutama ketika Singapura memperketat peraturan pengurusan kekayaan di republik tersebut.

“Peraturan ketat di Singapura mendorong keluarga kaya, khususnya dari China, untuk memindahkan pejabat keluarga mereka dan SFZ Forest City merupakan lokasi pilihan yang paling kompetitif,” katanya.

Setakat 22 April lalu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengumumkan sembilan kelulusan bersyarat bagi Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) bernilai kira-kira RM670 juta.

Mohd. Effandi berkata, beliau yakin sasaran AUM bernilai RM2 bilion menjelang akhir tahun ini mampu dicapai berdasarkan arus modal global yang kini beralih kepada destinasi yang mempunyai kestabilan politik dan infrastruktur lengkap.

Katanya, pemaju Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. perlu terus proaktif mempromosikan SFZ secara agresif bagi memastikan ia kekal sebagai hab kewangan utama di rantau Asia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN