Ekuinas lancar Capacity Building perkukuh syarikat bumiputera

Ekuinas lancar Capacity Building perkukuh syarikat bumiputera

ALIFF Omar Mohamad Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melancarkan program ‘Capacity Building’ sebagai inisiatif pemangkin yang memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan kritikal bagi syarikat bumiputera berpotensi tinggi dalam segmen pasaran pertengahan rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, segmen tersebut di Malaysia adalah luas dengan potensi pertumbuhan yang besar.

Bagaimanapun, katanya, banyak syarikat dalam segmen itu masih berdepan kekangan struktur, termasuk halangan operasi, jurang tadbir urus serta kelemahan keupayaan pelaksanaan yang mengekang usaha pengembangan perniagaan.

“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk menangani jurang ini secara berstruktur dan bermakna.

“Sebagai tonggak strategik ketiga Ekuinas, program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan serta memudahkan akses kepada modal.

“Ia disokong pendekatan penciptaan nilai yang tersasar bagi meningkatkan daya tahan operasi dan kesiapsiagaan pertumbuhan.

“Matlamat kami adalah memastikan syarikat yang menyertai program ini bersedia untuk menerima pelaburan, seterusnya membuka akses kepada modal dan mampu berkembang ke pasaran baharu,” katanya dalam kenyataan.

Program tersebut dirangka bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat agar lebih berdaya saing dan berdaya tahan melalui model penciptaan nilai, di samping mempersiapkan mereka untuk menarik serta memanfaatkan peluang pelaburan di pasaran.

Capacity Building merupakan tonggak ketiga dalam strategi pelbagai aset Ekuinas, melengkapi portfolio ekuiti persendirian dan kredit persendirian sedia ada.

Program dalaman itu akan memilih sehingga tiga syarikat setiap tahun, dengan penyertaan tertakluk kepada kriteria ketat termasuk pendapatan tahunan antara RM15 juta hingga RM50 juta serta rekod operasi yang terbukti.

Kopi Hang Tuah merupakan syarikat pertama yang dipilih menyertai program berkenaan.

Aliff Omar berkata, segmen kopi di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan berdaya tahan, didorong permintaan kukuh terhadap produk mampu milik dan mudah didapati.

“Dalam konteks ini, Kopi Hang Tuah menonjol sebagai jenama warisan dengan rekod prestasi terbukti, penawaran produk unik serta asas bakat yang kukuh.

“Penggunaan kaedah memanggang biji kopi secara tradisional mengekalkan keaslian cita rasa yang dihargai pengguna.

“Terdapat peluang jelas untuk mengembangkan perniagaan Kopi Hang Tuah secara mampan menerusi program Capacity Building kami.

“Ia mampu memperkukuh operasi, meluaskan jangkauan pasaran serta memacu syarikat ke fasa pertumbuhan seterusnya, di samping membuka akses kepada sumber modal baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal bin Zoal berkata, syarikat itu mempunyai asas kukuh hasil warisan berdekad lamanya serta prestasi konsisten dalam menyajikan kopi autentik.

“Kerjasama dengan Ekuinas menandakan titik perubahan penting yang akan memacu transformasi kami ke arah menjadi perniagaan lebih berskala dan bersedia untuk masa hadapan.

“Usahasama ini turut meletakkan kami pada kedudukan lebih bersedia untuk menerima pelaburan serta membuka akses kepada modal dan peluang baharu dalam fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN