Rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan - Beto Kusyairy - Utusan Malaysia

Rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan – Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun menerima pujian ramai, pelakon, Beto Kusyairy mengakui tidak semua penonton hadir ke pawagam untuk menikmati santai filem Libang Libu.

Ini kerana, Beto sedar, ada juga yang menonton dengan tujuan mencari kelemahan karya tersebut.

Bagaimanapun, Beto berkata, dia tidak pernah menghalang pandangan sedemikian kerana setiap penonton berhak memberi penilaian masing-masing terhadap sesebuah naskhah.

“Saya tak ada masalah kalau ada yang nak cari salah, itu hak masing-masing. Tapi pada saya, rugilah kalau kita tengok sesuatu karya semata-mata untuk cari kekurangan.

“Apabila kita datang dengan niat nak cari apa yang tak kena, kita sebenarnya dah tutup ruang untuk menikmati cerita itu. Mungkin kita dah baca komen yang kata filem ini sangat kelakar atau dapat rating tinggi, jadi kita datang dengan expectation yang besar.

“Apabila apa yang kita tengok tak sama dengan jangkaan, kita mula fokus pada kelemahan. Memang susah nak ‘enjoy’kalau datang dengan pandangan macam itu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Beto percaya pengalaman menonton akan menjadi lebih bermakna jika penonton hadir dengan hati yang lebih terbuka dan santai untuk menghayati setiap babak.

Katanya, pendekatan itu membolehkan penonton melihat emosi serta perincian halus yang cuba disampaikan menerusi jalan cerita.

“Kalau kita tengok dengan hati yang lebih terbuka, nak enjoy dan hayati cerita, kita akan nampak perkara yang lebih halus. Ada emosi dan perincian yang cuba disampaikan dalam setiap babak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Beto menjelaskan Libang Libu bukan sekadar filem komedi ringan, sebaliknya turut membawa sentuhan emosi yang diharap mampu menyentuh hati penonton.

“Kita bukan nak bagi mesej yang berat sangat, tapi kita harap ada rasa ‘terjentik’ dalam diri penonton. Mungkin lepas tengok, dia mula sedar sesuatu tentang diri sendiri, seperti cara kita menilai orang lain.

“Itu antara rasa yang kita harap penonton boleh bawa keluar dari pawagam,” katanya.

Pada masa sama, pelakon itu menegaskan mereka tidak pernah memaksa penonton untuk menerima sepenuhnya apa yang cuba disampaikan.

“Kami hanya sampaikan apa yang kami buat. Kalau penonton boleh terima, Alhamdulillah,” katanya.

Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, filem tersebut mula ditayangkan di pawagam pada 23 April lalu.

Naskhah itu membawa penonton menyelami kisah sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak, dengan pertembungan budaya, agama serta gaya hidup menjadi tunjang utama penceritaan.

Disulami elemen komedi dan drama yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia, filem itu turut dibintangi barisan pelakon seperti Amerul Affendi, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman dan Azhan Rani.

Penampilan khas turut diberikan oleh Yusof Haslam, Bront Palarae serta Nadiya Nisaa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN