PETALING JAYA: Industri pusat data (DC) Malaysia kekal berdaya tahan dan terus menarik aliran masuk pelaburan yang kukuh meskipun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat serta kenaikan harga tenaga global.
RHB Investment Bank Bhd. (RHB IB) menyasarkan syarikat pembinaan, penyedia utiliti dan firma telekomunikasi yang berkaitan dengan pembangunan pusat data bakal meraih manfaat daripada pertumbuhan berterusan sektor berkenaan.
Menurut firma penyelidikan itu, walaupun gangguan rantaian bekalan telah melambatkan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) dan perkakasan utama, pemain industri setakat ini berjaya menguruskan cabaran tersebut tanpa melibatkan penutupan operasi yang besar.
“Sentimen positif ini hadir di tengah kebimbangan mengenai integriti keselamatan infrastruktur di rantau Teluk, terutamanya susulan serangan fizikal terhadap infrastruktur awan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semasa konflik Amerika Syarikat/Israel-Iran.
“Semakan industri menunjukkan penyedia perkhidmatan awan utama dan pengendali kolokasi masih melihat permintaan yang meningkat untuk perkhidmatan AI dan pengkomputeran awan, dengan pelan pembinaan pusat data di Malaysia masih berada di landasan tepat,” katanya.
Mengulas lanjut, Fima penyelidikan itu berkata, selain faktor ekonomi tanah dan tenaga yang kompetitif, kestabilan politik serta kerangka dasar yang kukuh terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pusat data serantau.
Katanya, tarif elektrik di Malaysia juga masih kompetitif berbanding pasaran serantau seperti Singapura dan Filipina, sekali gus membantu memastikan projek kekal berdaya maju dari segi kewangan meskipun harga bahan api global berpotensi meningkatkan kos operasi.
“Lebih daripada tiga gigawatt (GW) kapasiti pusat data baharu dijangka tersedia di Malaysia menjelang 2030, yang berpotensi mewujudkan peluang pembinaan bernilai kira-kira RM90 bilion.
“Gergasi teknologi Amerika Syarikat termasuk Microsoft, Amazon Web Services dan Google sudah pun memperluaskan kehadiran mereka di sini melalui pembangunan rantau awan di Johor dan Elmina Business Park,” katanya.
Walau bagaimanapun, RHB IB memberi amaran terhadap beberapa risiko termasuk dasar kerajaan yang lebih ketat, ketidaktentuan keuntungan jangka panjang, sekatan akses cip canggih serta persaingan sengit daripada pasaran pusat data baharu di rantau ini.
Bagi sektor pembinaan, firma itu memilih Gamuda Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. sebagai pilihan utama, manakala Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menjadi pilihan bagi sektor tenaga dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) untuk sektor telekomunikasi. –UTUSAN










