Gerun lihat puting beliung angkat, terbalikkan setor kontena - penduduk

Gerun lihat puting beliung angkat, terbalikkan setor kontena – penduduk

SUHARDI Hashim menunjukkan keadaan setor kontena yang terbalik dan musnah dalam kejadian ribut di rumahnya di RTP Paya Mak Insun, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Penduduk di 21 kampung di daerah ini melalui detik mencemaskan apabila ribut kuat  mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin selain sebuah stor kontena turut diangkat dan terbalik.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam itu, ribut dipercayai bermula dengan hujan renyai sebelum puting beliung datang secara tiba-tiba dan luar biasa kuat.

Seorang mangsa, Suhardi Hashim, 57, berkata, kejadian itu amat menggerunkan apabila puting beliung menterbalikkan sebuah setor kontena di sebelah rumahnya yang turut mengalami kira-kira 80 peratus kerosakan.

“Pada mulanya hujan sikit sahaja, kemudian angin kuat secara tiba-tiba. Barang-barang dalam setor habis terangkat termasuk bumbung rumah. Saya nampak sendiri kontena itu diangkat sebelum dihentam ke belakang. Kejadian ini memang tidak pernah berlaku di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di RTP Paya Mak Insun.

Kejadian itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM25,000, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa memandangkan cuma dia seorang berada di rumah sewaktu kejadian.

Seorang mangsa, Fatin Nadirah Ghazali, 32, yang masih dalam tempoh berpantang berkata, dia berdepan saat mencemaskan apabila angin kuat melanda kediamannya sehingga menyebabkan pokok tumbang. 

Katanya, ketika kejadian dia bersama bayi perempuannya, Nur Ammara Aisya Muhammad Azizi serta anak sulung, Muhammad Amzar Rizqi, 4, berada di ruang tamu sebelum keadaan bertukar panik.

“Angin datang berpusing dan sangat kuat. Saya nampak pokok tumbang satu persatu sehingga menutup kawasan rumah, air hujan juga masuk hingga ruang tamu basah. Saya terus peluk anak-anak kerana takut mereka terkejut. Memang rasa sangat takut, kira-kira 15 minit angin kuat itu berlaku,” katanya.

Katanya, sepanjang kejadian dia hanya mampu membaca doa dan berselawat sambil memeluk bayi bagi menenangkan keadaan.

Fatin Nadirah berkata, kejadian tersebut merupakan yang pertama kali dialami sepanjang lebih 40 tahun keluarganya menetap di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, sebanyak 21 kampung terjejas melibatkan 89 keluarga.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada di lokasi sejak petang semalam bagi membantu penduduk yang terjejas serta menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN