KUALA LUMPUR: Pemberian insentif Filem Malaysia (Fimi), dilihat mampu melindungi hak-hak pekerja tempatan di negara ini.
Kata Pengerusi Finas Datuk Hans Isaac, Insentif itu dikekalkan supaya hak pekerja tempatan terbela.
“Itu sebab ada insentif Fimi, di mana dengan rebat 30 peratus, pembikin filem menggunakan syarikat dan pekerja tempatan ke atas semua produk tempatan.
“Sebenarnya kita mahu belajar teknologi baharu, kemahiran antara dua negara. Tapi dalam pada itu, pekerja kita yang meraih manfaat kewangan dan dalam masa yang sama, memperbaiki kemahiran.
“Bahkan, syarikat produksi antarabangsa memaklumkan kita menyediakan tenaga kru produksi terbaik,” katanya.
Finas dalam pada itu harus memberi peluang kepada penerbit-penerbit untuk pergi ke luar negara dan menjual kandungan mereka.
“Banyak kandungan tempatan diterima baik seluruh dunia. Tapi Finas harus memberi peluang dan menjadi pelabur.
“Kita mahukan kandungan tempatan dijual kepada negara luar, itu sangat penting. Dari situ kita melihat aspek kreativiti dan penjualan kandungan bergerak seiring.
“Dari segi penganugerahan, Terpulang kepada syarikat untuk memilih,” ujarnya.
Selain itu, pihak Finas sedang giat mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam sektor pembikinan drama dan filem.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada tahun lepas dan tahun ini, ada memberi bajet untuk latihan belia.
“Itu menunjukkan Anwar teliti dan tahu pentingnya generasi pelapis bagi memeriahkan lagi industri seni di masa akan datang,” katanya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalin menyambut baik penglibatan filem tempatan dalam memeriahkan majlis penganugerahan di peringkat antarabangsa.
“Terbaru, filem Mother Bumi yang berjaya menggondol beberapa kategori termasuk anugerah Pelakon Lelaki dan Perempuan Terbaik, selain bunyi Terbaik di Golden Horse award.
“Di Hong Kong Film Mart pula telah mencalonkan film lab keluaran kita. Kebanyakannya sedang kita usahakan supaya dapat dibawa ke tengah, seperti filem Tiger Stripe.
“Kita mahukan pelapis-pelapis Tiger Stripe. Oleh itu, Fina giat bekerjasama dengan Hong Kong, Busan dan sebagainya,” katanya.










