Harga helium melonjak 40 peratus, konflik Asia Barat bebankan pembekal parti - Utusan Malaysia

Harga helium melonjak 40 peratus, konflik Asia Barat bebankan pembekal parti

GAMBAR fail seorang wanita melihat hiasan belon. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Beberapa firma bekalan parti dan acara di Singapura melaporkan harga gas helium melonjak sehingga 40 peratus berikutan konflik yang berterusan di Asia Barat sehingga menjejaskan bekalan global serta meningkatkan kos operasi.

Helium merupakan sumber terhad yang biasanya diekstrak sebagai produk sampingan pengeluaran gas asli. Pengeluar utama dunia adalah termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Qatar. 

Qatar menyumbang kira-kira satu pertiga daripada bekalan global.

Serangan terbaharu ke atas kemudahan gas asli Qatar telah mengganggu pengeluaran dan eksport sehingga menyebabkan bekalan gas itu semakin meruncing di pasaran.

Firma tempatan menyatakan bahawa selain harga gas, kenaikan kos bahan api turut menambah tekanan, namun buat masa ini mereka masih menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga kepada pelanggan.

Pengasas bersama dan pengarah urusan syarikat Misty Daydream, Tan Jia Jun berkata, tangki helium baharu kini berharga 40 peratus lebih tinggi berbanding sebelum tercetusnya perang Iran.

“Sebelum ini, sebahagian besar stok gas kami datang dari Qatar. Namun, gangguan yang dikaitkan dengan konflik telah memaksa pembekal mencari sumber dari tempat lain,” tambahnya.

Sebuah lagi firma, SGballoons memaklumkan mereka diberikan sebut harga kira-kira 27 peratus lebih tinggi bagi setiap tangki helium ketika membuat pesanan sekitar dua minggu lalu.

“Kami hanya diberikan notis singkat oleh pembekal bahawa kos helium akan naik dan kuantiti pesanan minimum (MOQ) juga meningkat daripada satu tangki kepada empat tangki,” kata pengasas bersamanya, Ng Wei Sheng.

Menurutnya, perubahan itu bermakna setiap kali pusingan stok, syarikat perlu membayar harga premium dan menyediakan ruang logistik yang lebih besar untuk menyimpan tangki dalam kuantiti yang banyak.

Selain isu bekalan, kenaikan harga diesel turut melonjakkan kos penghantaran. Misty Daydream melaporkan bahawa perbelanjaan operasi keseluruhan telah meningkat sekitar 60 peratus sejak Februari lalu.

Cabaran bertambah apabila semakin ramai pelanggan memilih khidmat penghantaran berbanding mengambil sendiri barangan di kedai memandangkan saiz belon yang besar.

Menurut Tan, jumlah pesanan melalui penghantaran telah meningkat daripada 20 peratus kepada sekitar 80 peratus sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, perniagaan yang ditemu bual laman berita CNA menyatakan bahawa mereka memilih untuk menyerap kenaikan kos tersebut buat masa ini demi mengekalkan pelanggan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN