KUALA TERENGGANU: Mekanisme pengurusan bayaran hasil royalti petroleum ketika ini dilihat kurang efisien kerana sebahagian besar peruntukan tidak disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hanya sekitar 48 peratus daripada hasil berkaitan disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala selebihnya diuruskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan dibayar terus kepada syarikat pelaksana projek serta perkhidmatan di negeri.
“Lebih kurang 48 peratus duit yang pada kerajaan negeri adalah merupakan pendapatan yang diberi terus kepada kerajaan negeri, antaranya untuk pembayaran emolumen.
“Selebihnya, sekitar 52 peratus yang kita jangka sebagai hasil negeri dalam bentuk royalti dipegang oleh pihak MOF dan hanya dibayar berdasarkan tuntutan projek serta program,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dun Ke15 di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri terhad dalam membuat keputusan serta pelaksanaan program kerana pembayaran perlu melalui saluran persekutuan.
“Contohnya pembayaran penyelenggaraan dan kutipan sampah yang sepatutnya dibayar terus oleh kerajaan negeri kepada syarikat, tetapi dibuat oleh MOF secara terus kepada syarikat terlibat.
“Ini menyebabkan kita berada di luar kawalan sepenuhnya dan tidak efisien kerana setiap urusan perlu melalui proses di peringkat pusat,” jelasnya.
Ahmad Samsuri berkata, sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan, beberapa reformasi akan dilakukan termasuk menilai semula mekanisme pengurusan royalti petroleum. – UTUSAN










