PUTRAJAYA: Keselamatan digital dan pengesahan identiti tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara sampingan, sebaliknya perlu diperkukuh sebagai tanggungjawab nasional yang dikongsi bersama semua pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, aspek itu kini menjadi asas penting dalam memastikan sistem digital negara kekal diyakini serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi kerjasama erat antara sektor industri dan masyarakat.
“Keselamatan digital dan pengesahan identiti tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara sampingan. Ia perlu diperkukuh sebagai tanggungjawab nasional yang dikongsi bersama kerajaan, industri dan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian dan menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID Sdn Bhd dan rakan kerjasama strategik di sini hari ini.
Terdahulu, MyDigital ID memeterai kerjasama dengan 29 organisasi bagi memperluaskan penggunaan identiti digital nasional Malaysia merentasi sektor -sektor utama negara.
Kerjasama itu akan memperluas penggunaan MyDigital ID dalam bidang kebajikan, pendidikan, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, platform digital serta sektor pemangkin teknologi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, tanpa kaedah pengesahan identiti yang diyakini, sistem tercanggih akan tetap terdedah kepada risiko dan ini secara langsung akan menghakis keyakinan pengguna.
“Di sinilah identiti digital memainkan peranan penting, bukan sebagai penyelesaian yang berdiri sendiri, tetapi sebagai asas yang membolehkan penyertaan secara selamat dan lancar dalam kehidupan harian, ekonomi, serta masyarakat.
“MyDigital ID berperanan sebagai asas identiti digital dipercayai negara yang disahkan oleh kerajaan, ia mengutamakan perlindungan privasi pengguna serta boleh digunakan merentasi pelbagai perkhidmatan, platform dan sektor,” katanya.
/










