Kesabaran jaga ibu uzur dibalas rezeki tunai haji

Kesabaran jaga ibu uzur dibalas rezeki tunai haji

SITI Hadijah Abu Bakar (kiri) ditemani rakannya untuk hadir ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Kesabaran seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang setia menjaga ibu uzur akhirnya terbalas apabila menerima panggilan menunaikan ibadah haji tahun ini.

Peluang menjadi tetamu Allah itu disifatkan sebagai rezeki paling bermakna selepas sekian lama memikul tanggungjawab menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan.

Menurut Siti Hadijah Abu Bakar, 50, dia tidak pernah menyangka diberi peluang menunaikan haji meskipun berdepan
kekurangan, namun menganggap segala ketentuan yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

Siti Hadijah berkata, dia tidak menolak peluang menunaikan ibadah merupakan balasan kerana menjaga ibunya yang juga
menghadapi masalah penglihatan.

“Namun Kak Jah hanya menjalankan tugas seorang anak yang berkhidmat untuk emak
sampai akhir hayat Kak Jah.

“Kak Jah tidak mahu apa-apa balasan sebab bantu emak, biarlah Allah yang balas Saya tidak tahu, dengan izin Allah. Apa yang Allah tetapkan itu mungkin ada sebab.

Siti Hadijah merupakan antara 31,600 jemaah Malaysia yang terpilih mengerjakan ibadah Rukun Islam Kelima pada
musim 1447 hijrah.

Menurut Siti Hadijah, daripada lapan adik-beradik, enam daripadanya termasuk beliau mengalami masalah sama, namun keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Sekarang saya jaga emak, dalam masa sama menguruskan lima anak saya. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya.

Mengulas lanjut, jemaah haji yang mesra disapa Kak Jah itu berkata, dia percaya setiap ketentuan Allah hadir bersama
jalan penyelesaian, termasuk mengurniakan insan yang sanggup membantu sepanjang perjalanan ibadah tersebut.

“Setelah Allah utuskan seorang yang berhati besar dan setia membantu saya, tanpa pertolongan beliau mungkin saya
tidak sampai ke sini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji (TH) atas layanan baik yang diterimanya sejak berlepas dari tanah air sehingga tiba di Madinah. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN