Kerosakan bagasi, jemaah tersasar antara aduan operasi haji - Utusan Malaysia

Kerosakan bagasi, jemaah tersasar antara aduan operasi haji

AZRISHAM MAHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Kerosakan bagasi dan kes jemaah tersasar antara aduan yang diterima Unit Khidmat Pelanggan Tabung Haji sepanjang operasi haji tahun ini.

Pengurus Unit Khidmat Pelanggan Operasi Haji 2026, Azrisham Mahmad berkata, kedua-dua isu itu dikenal pasti sebagai paling kerap berlaku khususnya melibatkan jemaah yang baharu tiba dari Madinah ke Mekah.

Menurutnya, perjalanan jauh menjadi antara punca kerosakan bagasi, manakala kes tersasar pula lazimnya berlaku ketika jemaah menunaikan umrah kali pertama.

“Jemaah yang pertama kali berada di Mekah masih belum biasa dengan persekitaran, menyebabkan ada yang terpisah daripada kumpulan atau tersalah arah ketika pulang ke hotel.

“Namun, setiap aduan akan ditangani segera bagi memastikan ia tidak menjejaskan tumpuan jemaah dalam melaksanakan ibadah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, setiap aduan yang diterima akan dikategorikan kepada tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan berat bagi memudahkan tindakan diambil secara sistematik.

“Pendekatan ini penting supaya setiap isu dapat ditangani mengikut keutamaan dan tidak mengganggu perjalanan ibadah jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan jemaah supaya sentiasa membawa kad pengenalan diri dan maklumat hotel bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

“Penggunaan teknologi seperti kod QR dan aplikasi peta juga boleh membantu jemaah mencari arah pulang dengan lebih mudah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN