KUALA LUMPUR: Belum ada sebarang keputusan dicapai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sama ada akan memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai sekutu ataupun lawan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu tiada dalam agenda untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang pertama kali diadakan di Melaka pada 17 April ini selepas Sabah pada PRN yang lalu.
“Tiada ketetapan apa-apa. Ia mesyuarat MKT bulanan yang diputuskan untuk ke negeri-negeri termasuk Melaka. Tiada dalam agenda (perbincangan kerjasama dengan PH),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada bulan lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, PRN Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum 30 Disember iaitu tarikh tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, perbincangan sedang berjalan antara Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan Ab. Rauf selaku Pengerusi BN Melaka.
Katanya, PH tidak mahu dianggap sebagai parti yang hanya membantu sokongan pengundi bukan Melayu semata-mata.
“Kelmarin (Selasa) Adly telah bertemu Ab. Rauf dan nampak kerjasama itu ke arah positif. Jadi, kita mengharapkan yang terbaik antara kedua-dua parti kerana PH tidak mahu dianggap sebagai parti yang hanya memberi sokongan dari segi peratusan bukan Melayu sahaja.
“Kita nak berperanan lebih daripada itu bagi memperkukuh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka,” katanya. – UTUSAN










