BATU KAWAN: Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan bersedia untuk menimbangkan cadangan menurunkan cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan enjin diesel selepas ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat meskipun pengguna kenderaan tersebut di Malaysia ketika ini tidak terlalu ramai.
“Berapa kenderaan diesel di Malaysia ini? Ada 1.8 juta. Ia masih kecil ketimbang keseluruhannya (berbanding kenderaan yang menggunakan petrol). Tapi, bagi 1.8 juta ini, ada masalah kerana harga diesel naik. Saya masih ingat. Ya, menantu saya pun ada kereta diesel.
“Ya, tapi maknanya kita dengar (keluhan rakyat). Keputusan kita ialah penyasaran subsidi RON 95 (petrol). Itu masih kita kekal,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta beberapa kenamaan lain.
Pada majlis yang sama, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut dinobatkan sebagai penerima Ikon Keselamatan Jalan Raya JPJ.
Mengulas lanjut mengenai cadangan menurunkan cukai jalan bagi kenderaan diesel, Anwar berkata, cadangan ia mampu direalisasikan sedikit masa lagi.
“Itu boleh (turunkan cukai jalan untuk kenderaan diesel). (Turunkan) harga minyak sekarang ini tak mampu. Tapi, cukai jalan itu boleh. Kalau nak turun banyak, tolong lobi dengan Menteri Pengangkutan,” ujar beliau, berseloroh.
Tambah beliau, masalah yang dihadapi oleh rakyat seperti kenaikan cukai, harga minyak dan sebagainya adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh kerajaan.
“Jadi, sebab itu bila saya dengar masalah (berkaitan isu) diesel tadi saya bincang dengan Menteri Pengangkutan. Suruh (Anthony) Loke cari jalan dan saya minta Kementerian Pengangkutan, KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) juga untuk mencari jalan penyelesaian tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN










