PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti segera pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi diesel (BUDI MADANI Diesel) termasuk menggunakan kaedah sama bagi agihan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri sendiri mahu supaya mekanisme agihan BUDI MADANI Diesel itu diteliti segera.
“Kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi penyasaran subsidi itu dengan mengalihkan kaedah penyampaian daripada bentuk pemberian tunai kepada sistem yang lebih tersusun.
“Jadi caranya (kaedah agihan) akan lebih mudah, lebih efisien dan berkesan jika dilihat pada kaedah pelaksanaan BUDI95,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, MoF juga telah diminta untuk membentangkan mekanisme baharu itu sama ada dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ataupun mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga meneliti aspek penggunaan biodiesel.
“Buat masa ini, kadar adunan biodiesel telah diputuskan akan ditingkatkan dari B10 kepada B15 bermula dengan adunan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan dari pihak kerajaan.
“Kami dimaklumkan, kos adunan itu hanya menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada di dalam negara.
“Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa infrastruktur sedia ada bagi biodiesel B20 pada waktu ini terdapat di seluruh Sarawak kecuali di Bintulu, juga ada di Labuan dan Langkawi,” katanya.
Katanya, kerajaan akan meneliti langkah-langkah seterusnya dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan melakukan satu lawatan ke sebuah premis di Selangor pada Sabtu ini untuk melihat bahan asas bagi tujuan pengadunan biodiesel. – UTUSAN










