KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti cadangan pengurangan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel bagi meringankan beban pengguna, namun pada masa sama memastikan hasil kerajaan tidak terjejas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MOT ketika ini sedang menilai cadangan tersebut dengan mengambil kira keperluan pendekatan yang seimbang memandangkan terdapat pemilik kenderaan diesel yang turut menikmati harga bahan api bersasar atau bersubsidi.
“Kita perlu mencapai keseimbangan kerana tidak semua kenderaan diesel tidak layak menerima subsidi malah ada yang sudah mendapat manfaat daripada harga bersasar atau bersubsidi.
“Kita perlu menilai bagaimana untuk membantu mereka yang tidak menerima subsidi, mungkin melalui pengurangan cukai jalan. Pada masa sama, sebarang pengurangan akan memberi implikasi kepada hasil kerajaan yang akan berkurangan. Semua ini perlu diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Kajian berhubung perkara itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan diharap dapat diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pembaca edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: The Governance of China, Jilid V, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pengurangan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel akan memberi implikasi kepada hasil kewangan negara dan memerlukan penelitian terperinci sebelum dilaksanakan.
“Kita masih meneliti bagaimana untuk mengurangkan cukai bagi kenderaan diesel. Namun, kita juga perlu mengambil kira bahawa bukan semua kenderaan diesel tidak menerima subsidi kerana ada yang turut menikmati subsidi melalui harga bersasar.
“Jadi, kita perlu membuat pengimbangan untuk melihat bagaimana ia boleh membantu mereka yang tidak menerima subsidi supaya cukai jalan dapat dikurangkan bagi golongan ini.
“Pada masa sama, apabila cukai dikurangkan, ia memberi implikasi kepada hasil kerajaan. Semua ini perlu diteliti sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta MOT bersama Ketua Setiausaha mencari langkah bagi menurunkan kadar cukai jalan kenderaan diesel bagi membantu mengurangkan beban pengguna susulan kenaikan harga bahan api.
Mengikut statistik, sebanyak 1.8 juta kenderaan diesel direkodkan di negara ini, manakala kerajaan berdepan beban kewangan tinggi apabila perlu menanggung tambahan kira-kira RM7 bilion sebulan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi RON95. – UTUSAN










