PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan adunan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan dan hanya menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, penggunaan biodiesel dapat memanjangkan lagi ketersediaan bekalan diesel negara, disokong dengan pelan mitigasi biobahan api, naik taraf depoh B20 dan B30 secara berfasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor pengangkutan komersial dan awam.
“Kerajaan juga akan mengadakan libat urus bersama pihak Oil Industry Technical Committee (OITC) bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan teratur,” katanya menerusi Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini. – UTUSAN










