SEREMBAN: Kerajaan negeri mengambil pendirian tidak mengiktiraf tindakan Undang yang empat mengisytiharkan bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilucutkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini kerana Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan itu didakwa bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong ke-10.
Katanya, pengisytiharan itu tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Dalam hubungan ini, pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
“Selanjutnya, Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada Jumaat lalu telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu luak tersebut yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS di atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Sebelum itu, Undang yang empat mengisyhtiharkan memecat Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuatkuasa serta merta.
Pengisytiharan itu yang dibacakan oleh Mubarak dibuat di Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan di sini kira-kira pukul 6.15 petang semalam.
Yang turut hadir, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Tindakan itu dibuat mengikut perkara 10 (1)(b) UUTKNS 1959.
Aminuddin berkata, fungsi Dewan Keadilan dan Undang berperanan sebagai badan penasihat atas perkara-perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal berkaitan pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti yang diperuntukkan dalam perkara 16 UUTKNS 1959.
“Ia termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14 (3), UUTKNS,” katanya. – UTUSAN










