Kemasukan pemimpin lama bina persepsi UMNO terperangkap politik lampau - Utusan Malaysia

Kemasukan pemimpin lama bina persepsi UMNO terperangkap politik lampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan semula bekas pemimpin dan tokoh lama UMNO menimbulkan persepsi, parti itu belum keluar daripada bayang-bayang politik lampau.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, situasi itu berisiko menjarakkan lagi sokongan ge­nerasi baharu berusia antara 18 hingga 36 tahun yang amat kritikal terhadap imej kepemimpinan lama, khususnya berkait isu rasuah.

Katanya, sukar bagi UMNO memulihkan imej sekiranya te­rus bergantung kepada kelompok pemimpin lama yang dilihat membawa beban persepsi ne­gatif dalam kalangan pengundi muda.

“Kemasukan bekas tokoh ke dalam UMNO tidak lebih se­kadar menguatkan persepsi ia masih dibayangi pemimpin-pe­mimpin lama. Bagi pengundi generasi baharu yang lahir 1990 ke atas, pemimpin-pemimpin lama ini diselubungi imej korupsi dan politik naungan yang kronik.

“Susah bagi UMNO untuk memulihkan imejnya selagi ia bergantung kepada generasi pemim­pin dengan bagasi politik yang membebankan sebegini,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini me­laporkan, beberapa tokoh politik utama termasuk bekas menteri dan pemimpin yang telah menyertai parti lain selepas dipecat atau digantung daripada UMNO menunjukkan minat kembali menerusi inisiatif Rumah Bangsa.

Selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sudah mengemukakan permohonan secara rasmi, perbincangan untuk mem­bawa beberapa tokoh lain juga sedang berlangsung.

Setakat ini, UMNO menerima lebih 100 permohonan dan ra­yuan daripada bekas pemimpin serta ahlinya untuk menyertai semula parti itu.

Ahmad Fauzi berkata, kemasukan semula pemimpin la­ma juga berpotensi membuka se­mula pergeseran dalaman, se­lain menghalang kemuncu­lan pemimpin muda untuk me­nguatkan kedudukan politik mereka.

Mengulas peluang UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata, masa depan bergantung kepada keberanian untuk menentukan hala tuju sama ada Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo atau meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jika kerjasama PH-BN diteruskan, UMNO mungkin lebih realistik memainkan pe­ranan sebagai penentu, namun pendekatan itu dijangka me­nguji ego golongan veteran yang terbiasa dengan kedudukan sebagai parti dominan.

“Ini bergantung kepada seberani mana UMNO mencadang­kan BN bertanding secara solo dalam PRU16 dan bukan sebagai komponen atau rakan gabungan dengan PH.

“Jika pilihannya adalah dalam rangka kerja PH-BN, cukuplah UMNO sekadar memainkan pe­ranan kingmaker yang mungkin lebih realistik sekarang tetapi pasti menguji ego golongan ve­teran UMNO yang sudah terbiasa dengan suasana UMNO sebagai parti dominan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN