Kelantan teliti isu Orang Asli bina sekatan di Pos Simpor

Kelantan teliti isu Orang Asli bina sekatan di Pos Simpor

KERATAN laporan masyarakat Orang Asli di Pos Simpor membina sekatan di simpang Bereglag, Gua Musang, Kelantan bagi menghalang  aktiviti pembalakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan meneliti dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai tindakan masyarakat Orang Asli di Pos Simpor membina sekatan di simpang Bereglag, Gua Musang yang didakwa bertujuan mempertahan tanah adat dan wilayah adat mereka dari aktiviti pembalakan yang kian meruncing.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, ia bagi memastikan pihaknya memahami isu sebenar berhubung tindakan tersebut.

“Saya akan menghubungi Ketua Masyarakat Orang Asli (KMOA) di kawasan itu secepat mungkin dan pada masa sama kita akan turun ke sana untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku. termasuk memastikan bila tempoh masa sebenar kejadian.

“Saya juga ada melihat video-video tular dalam media sosial yang didakwa berkait kejadian. Namun, selepas diteliti dan disiasat, ia sebenar video lama dari tahun 2014,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Zamakshari berkata, ruang perbincangan mengenai isu berkenaan akan dilakukan dengan mendapatkan maklumat terlebih dahulu dari KMOA bagi memastikan keabsahan permasalahan yang ditimbulkan.

“Apa yang pasti, perbincangan serta rundingan akan berlaku tetapi kita perlu ambil maklumat san memahami isu lebih dahulu, terutamanya untuk memastikan keabsahannya.

“Secara umumnya saya akan ambil maklumat dan berbincang melalui KMOA dalam skop portfolio Perpaduan Masyarakat. Isu berkaitan pembalakan, saya hanya boleh dapatkan maklumat secara tidak langsung dari Pejabat Perhutanan Negeri kerana ia di bawah portfolio lain,” ujarnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan masyarakat Orang Asli di Pos Simpor mendirikan sekatan di simpang Bereglag sebagai tindakan mempertahankan tanah dan wilayah adat mereka daripada aktiviti pembalakan yang didakwa semakin meruncing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN