Pas umum bertanding 16 kerusi PRN Melaka

Pas umum bertanding 16 kerusi PRN Melaka

ZULKIFLI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas akan bertanding di 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, pengumuman awal dibuat bagi memastikan calon-calon berwibawa, berintegriti serta mempunyai latar belakang kepimpinan yang diyakini boleh ditampilkan.

Ahli Parlimen Jasin itu berkata, ketetapan itu selaras dengan kenyataan dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Melaka, Sabtu lalu.

“Pas Melaka telah mengenal pasti 16 kerusi DUN yang akan ditandingi melibatkan kawasan seperti Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui pengumuman itu, komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) perlu berkongsi baki 12 kerusi DUN.

Zulkifli turut meminta para pengundi memberikan sokongan kepada calon-calon Pas dan PN bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang adil, berintegriti dan berteraskan nilai-nilai Islam.

Katanya, perjuangan yang dibawa bukan sekadar persaingan politik, sebaliknya amanah untuk menegakkan keadilan serta kebajikan kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Dengan kesatuan dan kesungguhan semua pihak, Melaka akan terus diberkati serta dipimpin ke arah kesejahteraan yang diredai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN