PETALING JAYA: Kerajaan tidak bercadang membentangkan semula Belanjawan 2026 ke Parlimen walaupun negara sedang berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan global susulan krisis di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementerian-kementerian kini sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyemak semula perbelanjaan operasi mereka.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti program dan juga pelaksanaan bagi aktiviti tertentu dalam keadaan Malaysia berdepan dengan cabaran akibat daripada krisis bekalan global.
“Panduan juga sudah diberikan namun perincian akan disusuli antara ketua setiausaha di setiap kementerian bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan bekalan minyak mentah negara berada pada kadar yang memuaskan.
“Apa yang dimaklumkan dalam mesyuarat berkenaan, bekalan terutama untuk pihak Petronas berada pada kadar memuaskan bagi bulan Mei dan Jun. Insya-Allah tidak ada masalah.
“Pada masa sama, pihak MTEN meneliti dan sangat prihatin mengenai isu harga global, sama ada minyak mentah ataupun produk-produk seperti RON95 dan diesel akan menerima akibat daripada status Selat Hormuz yang terus ditutup pada waktu ini.
“Jadi, beberapa langkah dan ikhtiar di pihak kerajaan berkait Budi95, Budi Diesel, Budi Individu, akan diselaras dan perkara ini masih dalam penelitian,” katanya.-UTUSAN










