ALOR SETAR: Kerajaan negeri sedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan dalam usaha mengembalikan status Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu sebagai menjunjung titah Sultan Kedah untuk merangsang sektor pelancongan di pulau berkenaan.
“Sebelum ini ada pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan seperti pihak Kastam yang menguatkuasakan peraturan-peraturan itu dan kita minta dilonggarkan lah. Namun perkara ini terikat dengan Kementerian Kewangan.
“Kami harap Kementerian Kewangan bincang balik terutama untuk menghidupkan semula fungsi Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sebagai agensi khusus yang ditubuhkan untuk membangunkan Langkawi yang dahulu mendapat peruntukan pembangunan, namun sekarang hanya dana untuk operasi sahaja.
“Lada boleh diaktifkan lagi dengan memperoleh fungsi yang lebih besar dan kita sedia bekerjasama untuk membangunkan Langkawi dengan semua agensi kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN ke-15, di sini hari ini.
Beliau berkata, situasi konflik Asia Barat ketika ini boleh digunakan untuk merancakkan kembali sektor pelancongan negara khususnya Langkawi yang menjana sehingga RM5 bilion.
Katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat diperlukan dalam usaha untuk merangsang semula pembangunan sektor pelancongan Langkawi yang terkesan terutama selepas pandemik dahulu.
“Rekod tertinggi tiga juta pelancong ke Langkawi sebelum Covid-19, tapi kita hadapi sedikit masalah selepas itu sehingga 2023. Apabila dibuka balik 2024 sektor pelancongan jadi lembab.
“Jadi untuk memberi rangsangan kena tambah lagi barangan bebas cukai di Langkawi selain beri lesen bebas cukai kepada lebih banyak premis untuk memberi peluang kepada orang ramai beli barang murah agar menggalakkan mereka ke sana,” katanya.
Terdahulu, ketika sesi penggulungan, beliau melahirkan kekecewaan ekoran keistimewaan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai bagi kenderaan mewah turut ditarik balik tahun ini yang disifatkan mempengaruhi ekonomi khusus industri perhotelan di pulau berkenaan.
“Mulai tahun ini sudah tiada keistimewaan itu kerana hanya kenderaan di bawah RM300,000 sahaja layak diberikan pengecualian cukai dan kereta mewah dikenakan cukai dengan alasan bagi mengelakkan ketirisan.
“Sedangkan perkara ini menjadi satu sumber ekonomi kepada Langkawi khususnya hotel apabila orang kaya berkunjung ke sana untuk berbelanja dan membeli kereta mewah,” katanya.
Tambah beliau, Langkawi yang diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 Januari 1987 berdepan perubahan dasar pada 2016 apabila kawalan barangan bebas cukai diperketat dan barangan-barangan tertentu tidak lagi menjadi barangan bebas cukai.
“Kesannya, ia menjadi salah satu punca daya tarikan pelancong ke Langkawi semakin berkurangan dan keadaan ini memberi impak kepada pemain-pemain industri pelancongan serta peniaga-peniaga di Langkawi,” katanya. – UTUSAN










